Berita, Siaran Media

Malaysia-Brunei capai kesepakatan kukuh kerjasama pelbagai bidang sempena ALC

Malaysia dan Brunei berjaya mencapai kesepakatan untuk terus memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang sempena Rudingan Tahunan Malaysia-Brunei  (ALC) kali ke- 26.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kesepakatan itu merangkumi perdagangan, pelaburan, tenaga, maritim, pendidikan, pertanian serta keselamatan makanan.

“Alhamdulillah, penghormatan besar bagi saya menjadi Menteri Pengiring kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah sepanjang Lawatan Negara Baginda ke Malaysia.

“Bersempena Rundingan Tahunan Malaysia–Brunei kali ke-26, kedua-dua negara telah mencapai kesepakatan untuk terus memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang strategik.

“Ini merangkumi perdagangan, pelaburan, tenaga, maritim, pendidikan, pertanian serta keselamatan makanan,” katanya.

ALC adalah mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Brunei yang menjadi wadah untuk kedua-dua pemimpin menilai kemajuan kerjasama sedia ada, menangani isu berbangkit serta bertukar pandangan mengenai hal serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Lawatan serta mesyuarat tahunan berkenaan mencerminkan hubungan istimewa yang lama terjalin antara Malaysia dan Brunei, sekali gus menegaskan komitmen bersama dalam memperkukuh kerjasama strategik untuk kemakmuran serta kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.

Fahmi pada masa sama berkata, Malaysia menyambut baik langkah penambahan penerbangan oleh Royal Brunei Airlines ke Sabah, di samping pembukaan Sarawak Trade and Tourism Office (STATO) di Bandar Seri Begawan, yang diyakini mampu merancakkan hubungan dua hala.

Beliau pada masa sama berharap, hubungan istimewa Malaysia–Brunei terus diperkasa berlandaskan ukhuwah, kerjasama strategik serta aspirasi bersama, demi kestabilan dan kesejahteraan serantau.

Dalam lawatan tiga hari ke Malaysia, Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah di diiringi Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah, menteri-menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan Brunei.

Tahun lalu, Brunei rakan dagang keenam terbesar Malaysia dalam ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM7.53 bilion (AS$1.77 bilion).

Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, jumlah dagangan Malaysia-Brunei mencecah AS$690 juta (RM3.02 bilion), dengan eksport berjumlah AS$500 juta (RM2.18 bilion) dan import AS$190 juta (RM840 juta). – MalaysiaMADANI