Berita, Siaran Media

Lawatan kerja ke Jepun pacu transformasi pendidikan tinggi negara

Lawatan kerja Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ke Tokyo dan Osaka baru-baru ini mencerminkan kesungguhan Malaysia untuk terus meneroka kerjasama strategik dengan Jepun demi memacu kecemerlangan pendidikan tinggi negara.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan, usaha berkenaan selaras dengan pembangunan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 yang sedang dirangka.

“Penekanan kepada bidang keusahawanan teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan bidang pendidikan latihan teknikal, vokasional dan kejuruteraan (TVET) berimpak tinggi adalah antara teras utama dalam memastikan mahasiswa Malaysia bersedia menyertai ekonomi masa hadapan yang dipacu inovasi.

“Antara pengisian utama lawatan tersebut termasuk pertemuan dua hala dengan Pengerusi Majlis Penyelidikan Dasar Parti Demokratik Liberal (LDP) Jepun dan bekas Menteri Pendidikan, Budaya, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun, Koichi Hagiuda bagi membincangkan pelbagai isu strategik berkaitan cabaran universiti masa kini serta potensi kerjasama dalam bidang inovasi dan ekonomi kreatif (orange economy),” katanya.

Dalam lawatan sama, Dr Zambry turut berpeluang melawat Universiti Tokyo dan diberi taklimat tentang program AI Startup yang dibangunkan khusus untuk pelajar prasiswazah dan pascasiswazah.

Katanya program berkenan  merupakan satu model yang wajar diteroka dan disesuaikan untuk pelaksanaan di Malaysia bagi memperkasakan mahasiswa sebagai pencipta nilai dalam ekonomi masa depan,” ujarnya

Selain itu, beliau turut melawat National Institute of Advanced Industrial Science and Technology (AIST) yang memberi peluang kepada KPT meninjau teknologi terkini dalam bidang semikonduktor, AI dan pengkomputeran kuantum.

Dalam kesempatan berkenaan beliau bertemu Presiden Universiti Tsukuba, Prof Kyosuke Nagata dan perbincangan memfokuskan kepada pengukuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia dan perluasan program ke tahap lebih tinggi termasuk kerjasama dalam bidang High-TVET (Technical and Vocational Education and Training), khususnya yang melibatkan sinergi antara Universiti Tsukuba dan beberapa institusi pengajian tinggi serta politeknik di Malaysia.

“Kami meneliti ruang-ruang kerjasama yang boleh diterokai, termasuk kemungkinan menawarkan program berkualiti tinggi dari peringkat diploma hingga ke peringkat lebih tinggi, dengan penekanan kepada bidang teknologi canggih, kejuruteraan, dan inovasi,” katanya.

Beliau menjelaskan, kerjasama dalam Hi-TVET ini bukan sahaja akan memanfaatkan pembangunan tenaga kerja mahir di Malaysia, tetapi juga boleh menjadi contoh model baharu TVET bertaraf antarabangsa yang relevan dengan keperluan industri masa kini dan masa hadapan.

Justeru beliau yakin hubungan strategik antara Malaysia dan Jepun dalam bidang pendidikan tinggi dan latihan teknikal akan terus berkembang dan memberikan manfaat yang besar kepada kedua-dua negara. Universiti Tsukuba, dengan kepakaran dan sejarahnya, mampu menjadi rakan penting dalam melonjakkan lagi sistem pendidikan kita ke tahap global. – MalaysiaMADANI