Berita

Kursus di Universiti Awam (UA) masih relevan – Dr Zambry

Kursus pengajian sedia ada di Universiti Awam (UA) dilihat  masih relevan dan Kementerian Pengajian Tinggi tidak bercadang untuk menamatkan kursus sedia ada semata-mata kerana kemunculan bidang baharu seperti Kecerdasan Buatan (AI).

Penegasan itu dibuat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sambil menegaskan pihaknya akan terus memperkukuhkan pendekatan pelbagai disiplin dalam pendidikan tinggi negara.

“Kita perlu ingat bahawa ada kursus-kursus tertentu yang tetap relevan dalam konteks ini. 

“Sebagai contoh, apabila kita bercakap tentang kursus AI, seolah-olah semuanya memikirkan bahawa perlu ada Fakulti Kecerdasan Buatan. Tidak. Sebab ada kursus-kursus dalam dunia AI ini yang bersifat pelbagai disiplin,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan yang disuarakan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun di Dewan Rakyat.

Jelas beliau, memandangkan dunia AI tidak boleh dipisahkan daripada ilmu sosial, kemanusiaan dan sains lain, pendekatan holistik dan integratif perlu dikekalkan bagi memastikan graduan bersedia berdepan dengan permintaan pasaran kerja yang semakin kompleks.

“Hari ini apabila kita bercakap tentang disiplin AI itu, ia mesti juga melibatkan hal-hal yang berkaitan antara disiplin sains sosial yang lain,” katanya.

Beliau pada masa juga turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara pelbagai kementerian dengan agensi dalam memastikan penawaran kursus di universiti kekal sepadan dengan keperluan pasaran,

Ia kemungkinan melibatkan industri strategik seperti semikonduktor, elektrik dan elektronik (E&E), serta sektor berintensif teknologi tinggi yang dibawa masuk melalui Pelaburan Langsung Asing (FDI). – MalaysiaMADANI