Berita

Gabungan kekuatan PBK dan LKW buka ruang kerjasama menyeluruh

Mesyuarat Perancangan dan Pembangunan Secara Bersepadu antara Pihak Berkuasa Koridor (PBK) dan Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) yang dipengerusikan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kerjasama antara perancang wilayah dan pelaksana akar umbi dalam merencana pembangunan luar bandar di masa depan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri itu berkata, gabungan kekuatan PBK sebagai perancang strategik wilayah dan LKW sebagai pelaksana pembangunan komuniti akan membuka ruang kerjasama yang lebih berimpak dan menyeluruh.

“Di bawah Pelan Strategik KKDW 2026-2030, kita memberi tumpuan khusus kepada transformasi ekonomi desa, dengan penekanan terhadap pewujudan Hab Pelaburan Desa yang inklusif, kompetitif dan lestari. 

“Hab ini bukan sekadar projek pembangunan fizikal, tetapi simbol kemajuan desa baharu yang menghubungkan potensi tempatan ke pasaran serantau dan global,” katanya.

Menurut beliau  sebanyak empat projek utama dilaksanakan antara PBK dan LKW termasuk KEDA melibatkan Pembangunan Integrated Economic & Community Centre (iCON) di Baling, Kedah dan juga melibatkan PERDA bagi projek Perkongsian sumber antara NCIA dan PERDA menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR INTAN).

Turut terlibat adalah KETENGAH & KESEDAR  bagi projek pembangunan berasaskan konsep Transit-Oriented Development (TOD) dan pengukuhan pelancongan desa dengan sokongan kemudahan ECRL dan KEJORA yang menyokong pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Katanya, pendekatan kolaboratif PBK dan LKW perlu menjadi asas dalam setiap langkah pembangunan luar bandar bagi memastikan pembangunan wilayah yang mapan

“Insya-Allah, sinergi ini akan menjadi tonggak penting dalam melakar masa depan luar bandar Malaysia yang lebih progresif dan berdaya tahan,” katanya lagi.  – MalaysiaMADANI