Berita

Jadikan konsep ‘centrality’ ASEAN sebagai agenda paling penting

Malaysia menegaskan bahawa ASEAN mesti kekal sebagai medium utama di rantau ini berkonsepkan ‘centrality’ terutama dalam menjamin kestabilan dan keamanan sejagat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika mana dunia hari ini dilanda perang dagang, pentas geopolitik yang ‘panas’ serta persaingan teknologi masih mengganas, Malaysia terus teguh menegaskan bahawa ASEAN mesti kekal sebagai medium utama. 

Beliau berkata, konsep ‘centrality’ ASEAN menjadi agenda paling penting terutama dalam menjamin kerjasama yang inklusif, terbuka dan berpaksikan hukum. 

“Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini bertekad dalam memelihara peranan ini, termasuk melalui inisiatif besar seperti Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 (ACFTA 3.0) yang dimuktamadkan pada tahun ini dan bakal dibentangkan pada para pemimpin yang akan hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47,” kata beliau menerusi laman media sosialnya. 

Perdana Menteri berkata, ketika era kesalingbergantungan yang semakin kompleks berlaku pada hari ini, Malaysia secara umumnya ternyata tidak boleh terus tunduk kepada hegemoni.

Tambah beliau lagi, dalam masa sama Malaysia juga tidak boleh terjebak atau terheret dalam pengasingan.

Tegas beliau, perkara utama adalah mengangkat prinsip ‘sovereign interdependence’ iaitu satu konsep keterhubungan yang berasaskan pilihan dan ketangguhan. 

“Ini jalan serta jalurnya dalam menjamin Asia, dengan ASEAN sebagai nadinya untuk terus memimpin rantau dan dunia ke arah keterbukaan, kesaksamaan dan kemakmuran bersama,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI