Berita

Cadang bina sekolah menegak di Residensi Aman MADANI

Kerajaan bercadang membina sekolah menegak di Residensi Aman MADANI ekoran kapasiti terhad di kawasan tersebut.

Susulan perasmian residensi itu baru-baru ini, pihak pemaju bersama kementerian dan agensi berkaitan telah dipanggil bagi membincangkan penyediaan sekolah tersebut. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun terdapat sekolah rendah berdekatan, kapasiti yang terhad menuntut pembangunan sekolah baharu selari dengan pertambahan penduduk.

“Justeru saya telah mencadangkan agar wujudnya sekolah menegak dalam kawasan pembangunan atau pembinaan sekolah berhadapan residensi yang disambung jejantas,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Beliau berkata, sekolah itu terbuka kepada semua penduduk setempat yang ingin memanfaatkan kemudahan tersebut.

Selain itu kata beliau, kemudahan lain yang disediakan mengikut kerangka MADANI di sekolah itu adalah tadika, surau, klinik dan pusat keselamatan yang akan dibina kelak.

“Pastinya semua prasarana lengkap ini diwujudkan demi keselesaan rakyat,” kata Perdana Menteri. -MalaysiaMADANI