Kementerian Kewangan (MOF) menganjurkan Sesi Libat Urus Belanjawan 2026 bersama pemain industri semikonduktor bagi memperkukuh daya saing sektor tersebut, sekali gus membawa pulangan baik kepada negara.
Program terbabit melibatkan penyertaan rakan strategik daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor dan Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC).
Sesi tersebut menjadi medan perbincangan terbuka untuk mengenal pasti isu-isu strategik, cabaran semasa serta peluang baharu yang mampu memperkukuh daya saing industri semikonduktor negara.
“Melalui sesi ini juga, pelbagai cadangan dan pandangan dikemukakan bagi memperkasa ekosistem industri, menyokong inovasi teknologi serta mempercepatkan pertumbuhan ekonomi berasaskan digital dan berteknologi tinggi.
“Ia dilaksanakan selaras dengan aspirasi Belanjawan 2026 yang inklusif dan berimpak tinggi,” kata MOF menerusi laman sosialnya.
Pengarah Pejabat Belanjawan Negara, Datuk Seri Ab Rahim Ab Rahman dan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han turut hadir dalam Sesi Libat Urus Belanjawan 2026 itu.
Sesi tersebut merupakan platform penting dalam mendapatkan input secara langsung daripada rakyat, seterusnya memastikan Belanjawan 2026 dirangka dengan lebih inklusif, responsif dan berpaksikan keperluan sebenar rakyat Malaysia. -MalaysiaMADANI