Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menyertai Persidangan Speaker-Speaker Parlimen Sedunia ke-6 yang berlangsung 28 hingga 31 Julai ini di Palais des Nations, Geneva.
Pejabat Yang Dipertua Rakyat Parlimen Malaysia menerusi kenyataan memaklumkan, persidangan anjuran Kesatuan Antara Parlimen (IPU) dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) itu bakal menghimpunkan lebih 110 speaker Parlimen dari seluruh dunia.
Kehadiran Tan Sri Johari yang juga Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) mencerminkan komitmen parlimen ASEAN untuk memainkan peranan aktif dalam memperkukuh kerjasama antara parlimen, memelihara multilateralisme, memperjuangkan keselamatan kolektif, serta memartabatkan keterangkuman sejagat di tengah ketegangan geopolitik yang semakin meruncing.
“Beliau dijadual menyampaikan ucapan dalam sesi debat umum bertemakan ‘Dunia yang Bergolak: Kerjasama Parlimen dan Multilateralisme demi Keamanan, Keadilan dan Kemakmuran untuk Semua’ pada 29 Julai ini.
“Dalam ucapannya, beliau juga bakal mengangkat suara Malaysia dalam memperjuangkan sistem antarabangsa yang berteraskan undang-undang, prinsip keadilan, serta institusi Parlimen yang bebas dan berdaya tahan,” katanya.
Tan Sri Johari juga dijangka akan menjelaskan pendirian Malaysia terhadap penindasan berterusan ke atas rakyat Palestin di Gaza sekali gus menyeru parlimen-parlimen dunia bertindak dan tidak terus membisu apabila prinsip asas kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa dilanggar.
Dalam persidangan sama beliau juga turut dijadualkan mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama beberapa pemimpin legislatif dunia, termasuk wakil dari Iran.“Pertemuan berkenaan akan memberi tumpuan usaha menegakkan Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa bagi menjamin keamanan serta keselamatan,” katanya. – MalaysiaMADANI