Pelbagai projek fizikal Kampung MADANI di Rembau, Negeri Sembilan yang telah dipersetujui pelaksanaannya dijangka akan siap sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan akan datang.
Pelaksanaan projek tersebut membabitkan kerja-kerja membaik pulih, menaik taraf beberapa surau dan sebuah masjid serta penambahbaikan dua balai raya untuk aktiviti komuniti.
Selain itu, projek lain yang dilaksanakan adalah pembinaan susur gajah bagi keselamatan pelajar Sekolah Kebangsaan Chembong dan pemasangan lampu jalan solar untuk pencahayaan kawasan kampung.
Ia merupakan komitmen kerajaan dalam memperkasa pembangunan akar umbi menerusi inisiatif Kampung MADANI yang turut merangkumi komponen Sekolah MADANI dan Santuni MADANI.
Inisiatif itu dibincangkan secara menyeluruh dalam Mesyuarat Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara pada Selasa.
Selesai mesyuarat tersebut, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman Mohd Yusof telah bertindak turun padang dengan melawat tapak projek Kampung MADANI di Chembong, Rembau bagi meninjau kemajuan pelaksanaan di daerah itu.
Inisiatif terbabit sejajar dengan teras Kesejahteraan, Keterangkuman dan Ihsan di bawah kerangka Malaysia MADANI, selain menekankan pembangunan seimbang antara infrastruktur fizikal serta kesejahteraan sosial.
Melalui pendekatan turun padang, pihak kementerian memberi penekanan terhadap pelaksanaan segera, pemantauan berterusan serta kesan langsung kepada komuniti, agar manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat dalam masa terdekat. -MalaysiaMADANI