Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan bantuan sebanyak RM100 secara ‘one-off’ kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Bantuan itu katanya sebelum ini hanya dinikmati isi rumah miskin dan miskin tegar di dalam rekod eKasih namun diperluaskan kepada semua.
“Sukacita diumumkan bersempena Hari Kebangsaan 31 Ogos 2025, setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas akan menerima 100 ringgit secara one-off melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Bantuan ini boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos 2025 sehingga 31 Disember 2025 bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya di seluruh negara.
“Bantuan ini diberikan secara individu dan bukannya isi rumah. Maknanya, sebuah isi rumah umpamanya suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan dapat RM400,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat pengumuman penghargaan untuk rakyat Malaysia yang disiarkan secara langsung di televisyen, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Ikhtiar ini dijangka memanfaatkan 22 juta rakyat melibatkan peruntukan RM2 bilion.
“ Ini bermakna, jumlah peruntukan STR dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk 2025, dan ini merupakan kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa,” katanya.
Selain itu, kerajaan juga mengumumkan peruntukan Jualan Rahmah MADANI 2025 tahun ini ditingkatkan sekali ganda lagi menjadi RM600 juta, berbanding yang diumum sebelum ini RM300 juta.
Katanya, peruntukan tambahan itu antaranya akan menambah kekerapan dan memperluas jumlah lokasi di seluruh negara meliputi kesemua 600 Dewan Undangan Negeri (DUN), selain memperbanyakkan jenis barangan untuk memberi pilihan yang lebih meluas kepada rakyat.
Dalam pada itu, sebagai perhargaan sempena Sambutan Hari Malaysia tahun ini, kerajaan MADANI juga mengumumkan 15 September depan diisytiharkan sebagai hari kelepasan am tambahan.
Katanya, hari kelepasan itu dibuat bagi menghargai ukhuwah perpaduan dan keistimewaan pembentukan Malaysia selain memberi galakan agar rakyat menjalinkan silaturahim sesama keluarga di kampung atau meluangkan masa bercuti di dalam negara.
“Ini mudah-mudahan dapat meningkatkan ukhwah, perpaduan dan mengingatkan kita kehebatan pemuka bangsa dalam mengusulkan pembentukan Malaysia negara tercinta,” kata Anwar.
Beliau juga berkata kerajaan bersetuju untuk menangguh kenaikan kadar tol bagi membolehkan rakyat terus menikmati pembayaran pada harga yang sama.
Langkah berkenaan dibuat susulan daripada keputusan yang mampu memberi kelegaan kepada ramai pihak itu, kerajaan akan menanggung kos lebih daripada RM500 juta.
“Harga petrol RON95 akan turun lebih rendah iaitu RM1.99 seliter selepas penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan kelak.
“Langkah itu tentunya beri manfaat sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig,” katanya.
Tambah beliau kerajaan sentiasa komited menyasarkan perbelanjaan subsidi negara dengan rakyat biasa kekal menikmati subsidi sementara menangani ketirisan kepada mereka yang tidak layak.
Justeru, 85 peratus pengguna domestik menikmati penurunan bil elektrik Julai 2025 bagi penggunaan yang sama ketimbang separuh tahun pertama 2025 iaitu sehingga 14 peratus. – MalaysiaMADANI