Kerajaan akan melaksanakan tindakan menyeluruh dengan lebih tersusun dengan kerjasama beberapa kementerian berikutan peningkatan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang merangkap Pengerusi Majlis Sosial Negara (MSN) ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) Bil. 2/2025.
“Cabaran sosial negara hari ini semakin kompleks. Justeru, pendekatan kita juga harus lebih berani, lebih tersusun dan lebih menyentuh isi sebenar kehidupan rakyat.
“Antara yang paling membimbangkan ialah peningkatan sebanyak 53.2 peratus kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, evolusi teknologi dan revolusi industri juga telah memperlihatkan modus operandi jenayah yang semakin canggih, termasuk penggunaan teknologi deepfake dan pencurian identiti digital.
Justeru, usaha bersama untuk membanteras perlu dipertingkatkan termasuklah penganjuran Seminar Perlindungan Kanak-Kanak pada November ini, agar perlindungan dan kesedaran siber dapat ditingkatkan dengan serius.
Selain itu mesyuarat juga turut meneliti keperluan membina rumah jagaan kejururawatan psikiatri bagi gelandangan yang mengalami gangguan mental.
Manakala isu ketidakpadanan kemahiran graduan juga ditangani secara strategik melalui inisiatif MyMAHIR yang menjanjikan latihan berkualiti dan gaji permulaan daripada RM3,000 sehingga RM6,000 sebulan.
“Sebagai Pengerusi saya tegaskan bahawa MSN merupakan jentera penyelaras utama dasar sosial kebangsaan dan pelaksanaan DSN 2030 mesti dipacu secara bersasar dan berimpak tinggi dengan pemantauan berkala, ukuran impak dan akauntabiliti tinggi oleh semua agensi,” katanya. – MalaysiaMADANI