Berita, Siaran Media

MCMC, KKM perkasa agenda transformasi sistem kesihatan negara melalui teknologi digital

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama secara strategik dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memperkasa agenda transformasi sistem kesihatan negara melalui teknologi digital, khususnya dalam memperluas liputan dan akses perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar.

Projek perintis penghantaran ubat menggunakan dron dilaksanakan di Sabah, dengan Klinik Kesihatan Tawau menjadi pusat utama penghantaran ke dua Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) berhampiran.

“Inisiatif ini menyasarkan peluasan perkhidmatan e-Kesihatan melalui 1,099 NADI di seluruh negara, yang akan berfungsi sebagai gerbang kesalinghubungan digital di kawasan luar bandar.

“Penduduk setempat akan mendapat akses konsultasi maya bersama doktor melalui kiosk telekesihatan, sekali gus memastikan keterangkuman kesihatan digital di kawasan luar bandar,” katanya dalam kenyataan.

Sabah dipilih berdasarkan liputan jaringan 4G (94.4 peratus) dan 5G (69 peratus) yang stabil serta cabaran geografi negeri itu yang menuntut penyelesaian inovatif bagi menjamin kelangsungan rawatan dan bekalan ubat kepada rakyat.

Malah, lapan inisiatif utama akan dilaksanakan, iaitu penyediaan prasarana komunikasi untuk kesihatan masa depan; Perlengkapan komputer dan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR)di klinik kesihatan, termasuk klinik desa dan klinik komuniti dan Penyediaan kiosk e-kesihatan di NADI.

“Sistem-sistem digital berasaskan pengkomputeran awan serta platform konsultasi maya akan digunakan bagi menyokong penghantaran ubat ke kawasan sukar akses, memudahkan rawatan susulan, serta memperkukuh pemantauan berterusan pesakit luar bandar,” katanya.

Pada masa sama, pihaknya juga akan meneliti usaha pemerkasaan literasi digital kesihatan dalam kalangan komuniti setempat bagi meningkatkan keyakinan pengguna perkhidmatan kesihatan digital dari aspek keselamatan dan keberkesanan.

Kolaborasi strategik ini dilihat amat penting ketika negara berdepan cabaran sistemik seperti pertambahan populasi warga emas, peningkatan beban penyakit tidak berjangkit (NCD), dan ketidakseimbangan nisbah pesakit kepada petugas kesihatan.

Hal berkenaan penting dalam merealisasikan misi “1 Individu, 1 Rekod” menerusi pengukuhan ekosistem kesihatan digital negara.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad pula menjelaskan pihaknya amat mengalu-alukan kerjasama ini kerana ia mampu memperkukuh sistem kesihatan awam dengan menawarkan penyelesaian inovatif dan mesra rakyat. 

“Ia adalah pendekatan yang signifikan bagi mendepani cabaran penjagaan kesihatan masa kini, terutama di kawasan yang sukar mendapat akses,” ujar beliau.

Inisiatif berkenaan berupaya memberikan impak positif kepada rakyat, sekali gus menyokong hasrat negara untuk muncul sebagai peneraju kesihatan digital serantau dan hab inovasi kesihatan global selaras aspirasi Kerajaan Madani- MalaysiaMADANI