Malaysia dan ASEAN perlu memanfaatkan peningkatan daya tarikan rantau ini sebagai zon penting menghubungkan jaringan dagangan dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun dagangan dunia berdepan pergolakan kuasa dan tindakan balas-membalas berhubung isu tarif, namun Malaysia masih berjaya mencatat pelaburan langsung yang baik.
“Alhamdulillah, setakat Mac 2025, lebih RM63 bilion pelaburan langsung telah berjaya diraih sejak Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) diluncurkan.
“Namun kita tidak boleh alpa dan NSS perlu terus mencatur langkah untuk melonjakkan Malaysia ke hadapan, bukan sekadar ‘Made in Malaysia’ tetapi ‘Made by Malaysians’,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menghadiri Sidang Kemuncak Semikonduktor ASEAN 2025 (ASEMIS) pada Khamis.
Sidang kemuncak itu menghimpun pembuat dasar dan jaguh industri tempatan serta negara tetangga.
Lebih menarik, ia turut menjadi medan untuk memperingati ulang tahun pertama peluncuran NSS.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Malaysia mensasarkan untuk melahirkan sekurang-kurangnya 10 syarikat tempatan dalam rantaian bekalan semikonduktor yang berpendapatan tinggi.
Selain itu, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, negara juga sedang merintis 100 lagi syarikat tempatan dalam bidang itu untuk menjadi juara nasional.
Sehubungan itu kata beliau, kerjasama antara CREST dan HRD Corp sedang diatur bagi melatih sehingga 60,000 jurutera mahir menjelang 2030.
“Malaysia akan terus memberi fokus untuk menjadi ‘Middle Power’ yang diyakini menjamin masa depan teknologi yang bersifat insani buat seluruh dunia,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI