Dua negara sahabat ASEAN, Thailand dan Kemboja akhirnya bersetuju menamatkan persengketaan melalui pelaksanaan gencatan senjata bermula tengah malam Isnin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia menerima amanah besar bersama rakan-rakan lain untuk memantau pelaksanaan dan pematuhan gencatan senjata tersebut, atas permintaan kedua-dua pihak.
Beliau berkata, pendekatan damai itu mencerminkan semangat Piagam ASEAN berlandaskan hormat-menghormati, penyelesaian secara rundingan dan penolakan keganasan demi kemanusiaan.
“Kita mesti teguh mempertahankan perpaduan ASEAN agar rantau ini kekal sebagai antara wilayah paling aman, stabil dan makmur di dunia.
“Keamanan adalah asas kepada kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat serantau,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Perdana Menteri berkata, dia juga merakamkan penghargaan kepada Thailand dan Kemboja atas penyelesaian diplomatik itu, serta kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping atas peranan menyokong usaha damai tersebut.
Tegas beliau, ASEAN terus membuktikan kepimpinan berwibawa di pentas antarabangsa berpaksikan dialog, diplomasi dan nilai kemanusiaan.
Sementara itu, media melaporkan Amerika Syarikat (AS) memuji kepimpinan Perdana Menteri Malaysia dalam usaha menjayakan rundingan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja, sekali gus mencapai kata sepakat untuk menghentikan konflik sempadan mulai tengah malam Isnin.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dalam satu kenyataan berkata, AS menyifatkan gencatan senjata itu sebagai langkah penting ke arah mengakhiri ketegangan yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu di sempadan dua negara jiran di Asia Tenggara itu.
“Presiden Donald Trump dan saya komited terhadap penghentian segera segala bentuk keganasan dan menjangkakan agar kedua-dua negara menunaikan komitmen mereka untuk menamatkan konflik ini.
“Kami amat menghargai kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain kesediaan beliau menjadi tuan rumah bagi rundingan gencatan senjata ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin. -MalaysiaMADANI