Kedudukan fiskal Malaysia ketika ini berada pada kedudukan semakin stabil, selain prestasi ekonomi negara menunjukkan tanda-tanda pemulihan meyakinkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prestasi baik itu dicapai menerusi kesungguhan dan iltizam tinggi Kerajaan MADANI dalam melakukan yang terbaik kepada negara serta rakyat Malaysia.
“Saya tekankan bahawa dengan pelaksanaan lebih banyak agenda reformasi yang berani dan berasaskan prinsip kebertanggungjawaban, kedudukan kewangan negara akan terus diperkukuh.
“Hatta memberi ruang yang lebih luas untuk Kerajaan MADANI memperkasa kesejahteraan rakyat dan mempertingkat maslahat umum,” tegasnya.
Beliau berkata demikian semasa majlis perhimpunan warga Kementerian Kewangan pada Khamis.
Perdana Menteri berkata, langkah-langkah terbaru yang diumumkan olehnya pada Rabu merupakan manifestasi keikhlasan untuk terus membantu rakyat tanpa mengira latar belakang sama ada golongan B40 mahupun M40.
Jelas beliau, ia termasuk usaha menurunkan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter serta mengekalkan kadar tol di 10 lebuh raya utama.
Kata beliau, perkara itu secara langsung menyasar pengurangan kos sara hidup buat rakyat terbanyak, khususnya kelas menengah.
“Inilah tekad Kerajaan MADANI dalam memastikan kemakmuran dikongsi dan kesejahteraan dapat dinikmati secara saksama oleh seluruh rakyat Malaysia,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI