Berita

Shell bakal tambah pelaburan lebih RM9 bilion di Malaysia – PM

Shell akan menambahkan pelaburan melebihi RM9 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang sekali gus bakal mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Perkara berkenaan dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Global Shell, Wael Sawan bersama delegasi.

“Saudara Sawan menyuarakan keyakinan terhadap arah tuju negara.

“Justeru, beliau memaklumkan bahawa Shell akan menambah pelaburan melebihi RM9 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, yang bakal mencipta peluang-peluang pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya.

Anwar menjelaskan pelaburan berkenaan adalah manifestasi keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar ekonomi kita yang teguh dan kepimpinan yang jelas.

“Insya-Allah, Malaysia mampu terus melakar masa depan yang makmur dan berdaya saing,” katanya.

Beliau pada masa memberitahu turut memanfaatkan kesempatan berkenaan untuk berkongsi pendekatan strategik Kerajaan MADANI.

“Saya manfaatkan kesempatan ini untuk berkongsi pendekatan strategik Kerajaan MADANI dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang stabil, mampan dan berdaya tahan bukan hanya untuk hari ini, tetapi demi generasi mendatang.

“Shell bukan sekadar nama besar dalam dunia tenaga, tetapi telah menjadi rakan pelaburan utama negara dan sebahagian daripada perjalanan ekonomi Malaysia sejak sekian lama,”katanya.

Di negara ini, Shell memiliki kira-kira 950 stesen minyak selain menjual pelincir industri serta mengeluarkan minyak mentah dan gas asli di perairan Sabah dan Sarawak. – MalaysiaMADANI