Berita, Siaran Media

RM300 juta diperuntuk perkukuh sektor agromakanan negara


Sebanyak 220 projek diluluskan di bawah Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah dengan kerjasama kerajaan negeri bagi tahun 2024 dan 2025, setakat 30 Mei lalu.

Kementerian Pertanian Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan memaklumkan  sebanyak RM300 juta diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan pertanian bersama kerajaan negeri.

“Ia melibatkanaktiviti ternakan, tenaman, perikanan, agro-pelancongan serta program pembangunan kapasiti peladang, nelayan dan penternak.

“Program ini merangkumi usaha pembaikan, naik taraf dan pelaksanaan aktiviti pertanian di tanah di bawah bidang kuasa bersama antara kerajaan negeri dan KPKM.

“Peruntukan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh ekosistem agromakanan negara secara menyeluruh,” kata kenyataan.

Inisiatif tersebut antara perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Bilangan 1 Tahun 2025 bersama Exco-Exco Pertanian Negeri yang dipengerusikan oleh Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, Exco-Exco pertanian daripada 13 negeri.

Pada mesyuarat berkenaan turut membincangkan cadangan penyerahan rasmi 51 kompleks Ladang Satelit Nasional (LSN) yang dibina oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan di atas tanah milik kerajaan negeri di Negeri Sembilan, Johor dan Perak. – MalaysiaMADANI