Berita

MoU Malaysia-Jepun lonjak pelaburan dan daya tahan sistem makanan negara

Malaysia menjalinkan kerjasama kukuh dengan Jepun menerusi beberapa pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang bakal menjana pelaburan melebihi AS$6 juta (RM25.5 juta).

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pemeteraian itu bukan sahaja menjana ekonomi malah diyakini memperkukuh daya tahan sistem makanan negara.

“Bang Mat juga bangga melihat kerjasama kukuh antara Malaysia dan Jepun.Hari ini, syarikat-syarikat dari kedua-dua negara menandatangani MOU yang bakal menjana pelaburan melebihi USD6 juta. Ini bukan sahaja menjana ekonomi, malah memperkukuh daya tahan sistem makanan kita.

Pertanian bukan kerja orang kampung semata. Ia adalah masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Sustainable Agriculture Week di Pavilion Malaysia sempena World Expo 2025, Osaka, Jepun.

Penyertaan Malaysia di Ekspo 2025 Osaka dikendali oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta disokong pihak lain secara menyeluruh melibatkan 21 kementerian dan 70 agensi.

Tegas beliau Malaysia tampil membawa semangat besar, bahawa pertanian lestari bukan sekadar pilihan, tapi satu keperluan.

“Kita bayangkan, kalau suatu hari nanti petani hilang kerja, tanah pertanian dibiarkan, makanan jadi makin sukar didapati, itulah amaran masa depan yang sedang menghampiri jika kita tidak bertindak sekarang,” katanya.

Beliau menambah Malaysia kini sedang memodenkan pertanian menggunakan teknologi, drone, IoT, dan sistem pintar dari ladang ke bandar.

“Di Malaysia, kita bergerak dengan dasar seperti Dasar Agromakanan Negara 2.0 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

Justeru beliau mengajak semua pihak terus bekerjasama dengan semua pihak dalam membawa bidang pertanian di kedudukan yang lebih baik.

“Ayuh kita terus berganding bahu baik kerajaan, swasta, petani, dan rakyat ke arah Malaysia MADANI yang berdaya tahan, berinovasi dan berkat,” katanya. – MalaysiaMADANI