Berita, Siaran Media

Malaysia sedia jadi hab digital maju – Gobind


Malaysia komited untuk menjadi hab digital yang maju dan bersedia menghadapi masa depan yang terbuka kepada kerjasama antarabangsa, kata Menteri Digital.

Gobind Singh Deo ketika berucap di Forum Gerbang Digital UK-Malaysia di London berkata, Malaysia terbuka untuk melakukan inovasi.

“Visi kami berpaksikan kepada tiga pemangkin utama iaitu infrastruktur bertaraf dunia, tadbir urus data yang dipercayai dan kepercayaan institusi.

“Inilah asas yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama untuk pelaburan teknologi bernilai tinggi di rantau ini,” katanya.

Gobind yang kini berada di London bagi menghadiri London Tech Week yang turut menjadi platform bernilai untuk Malaysia mendapatkan pandangan serta menjalin kerjasama dalam bidang baharu seperti tadbir urus kecerdasan buatan (AI), bandar pintar dan kelestarian digital.

Pertumbuhan digital Malaysia  kini semakin  kukuh sambil merujuk kepada angka pelaburan memberangsangkan bagi suku pertama 2025.

Malah, sepanjang tempoh ini, sebanyak 107 syarikat baharu diluluskan di bawah rangka kerja Malaysia Digital dengan nilai pelaburan sebanyak RM13.1 bilion (GBP 2.3 bilion).

“Pelaburan ini dijangka mewujudkan 4,199 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Justeru beliau menggesa syarikat teknologi dari United Kingdom (UK) berganding bahu bagi membina masa depan digital yang dinamik di negara ini. – MalaysiaMADANI