Sebanyak RM300 juta diperuntukkan bagi memastikan kelangsungan sumber laut negara, kebajikan nelayan dan integriti sistem subsidi terus dipelihara, kata Timbalan Perdana Menteri.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk perikanan lestari, dua skim utama dibangunkan iaitu Skim Pembiayaan Pemacu Perikanan Tangkapan dan Skim Geran Padanan untuk Penggantian Pukat Tunda dan Bot,
“Setiap skim diperuntukkan sebanyak RM150 juta dengan Skim Pembiayaan Pemacu Perikanan Tangkapan akan memberi tumpuan kepada menaik taraf vesel dan automasi industri perikanan.
“Manaka Skim Geran padanan untuk penggantian Pukat Tunda dan Bot pula bertujuan menggalakkan penggunaan kaedah tangkapa yang lebih lestari dan mesra alam,” katanya.
Beliau yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pembangunan dan Pemerkasaan Nelayan (JPT-PPN) hari ini turut memaklumkan pihaknya bersetuju melaksanakan Projek Transformasi Ekonomi Nelayan Melalui Akuakultur (TEMAN-AKUA): Akuakultur untuk Nelayan B40.
Mengulas lanjut, beliau berkata projek akan dlaksanakan dalam empat fasa melibatkan ternakan kerang dan kupang dengan potensi pulangan sehingga RM50 juta setahun.
Selain itu, kerajaan akan melaksanakan TEMAN-AKUA yang akan memanfaatkan kira-kira 1,100 nelayan B40 tidak berlesen di Melaka, Negeri Sembilan dan Perlis dengan nilai peruntukan awal sebanyak RM5 juta.
Katanya, program berkenaan dijangka mampu menjana pulangan sehingga RM50 juta setahun dan meningkatkan pendapatan isi rumah sehingga RM10,000 sebulan.
Sementara itu, Mohamad Sabu dalam menerusi kenyataan berkata, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memodenkan industri ini bukan sekadar menaik taraf teknologi dan kemudahan, malah memperkukuh ekosistem keusahawanan serta sokongan menyeluruh kepada pemain industri.
Hal berkenaan katanya penting agar sektor perikanan bukan sahaja mampu menjana pendapatan mampan, tetapi juga menjamin masa depan yang lebih bermaruah, lebih lestari dan lebih sejahtera khususnya buat nelayan dalam kalangan B40.
“Alhamdulillah, mesyuarat ini membawa khabar gembira buat seluruh warga nelayan. Kita sepakat untuk mengangkat martabat sektor perikanan negara ke tahap yang lebih moden dan berdaya saing,” katanya. – MalaysiaMADANI