Berita

Gabungan ilmu hafazan al-Quran dengan TVET lahirkan generasi lebih versatil

Gabungan ilmu hafazan al-Quran dengan kemahiran teknikal dan vokasional tidak hanya menjadikan para huffaz lebih versatil tetapi membuka ruang yang luas untuk menyumbang kepada kemajuan agama, bangsa dan negara.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri Forum Perdana Ehwal Islam sempena sambutan Hari TVET Negara 2025.

Gabungan ilmu al-Quran dengan kemahiran kontemporari menjadikan generasi yang lebih versatil dan mampu menyumbang secara aktif dalam pelbagai bidang.

Beliau turut bersetuju dengan pandangan panel yang menekan keperluan menjadikan TVET sebagai fardu kifayah kerana boleh membangun ummah masa kini.

“Saya senada dengan pandangan para panel yang menekankan keperluan menjadikan TVET sebagai fardu kifayah kerana ianya merupakan satu tuntutan masyarakat dalam membangunkan ummah pada masa kini.

“Saya juga bersetuju sepenuhnya dengan kenyataan bahawa agama tidak pernah memisahkan antara bengkel dan masjid,” katanya yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Forum Perdana Ehwal Islam yang bertajuk “Membangun Generasi Huffaz Berkemahiran” dikendalikan oleh Ustaz Mohd Hariri Haji Mohammad Daud dan dibincangkan oleh ahli panel YBhg. Datuk Badli Shah Alauddin, Timbalan Mufti Negeri Pahang; YBrs. Dr. Muhammad Faizal Tahirrudin, Pengerusi Jawatankuasa Kerja (JKK) Tahfiz TVET serta Imam Muda Asyraf, Pendakwah Bebas.

Beliau pada masa sama menzahirkan rasa bangga kerana program yang dihadiri disertai golongan muda.

“Apa yang lebih membanggakan, saya melihat majoriti yang hadir malam tadi adalah daripada golongan anak muda.,” katanya.

Kehadiran golongan muda itu jelas beliau membuktikan bahawa minat terhadap pendekatan pendidikan yang seimbang semakin subur dalam kalangan generasi baharu.

Beliau memberi jaminan kerajaan akan  terus memperkasa inisiatif berkenaan agar dapat melahirkan lebih ramai huffaz berkemahiran yang bukan sahaja celik wahyu, tetapi juga cekap mengurus realiti. – MalaysiaMADANI