Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini bukan lagi laluan alternatif sebaliknya dilihat sebagai pilihan utama dalam melahirkan tenaga kerja berkualiti untuk masa depan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, TVET kini memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“TVET kini terus relevan dalam memenuhi keperluan tenaga kerja bagi industri berteknologi tinggi seperti semikonduktor, automasi, dan tenaga boleh diperbaharui.
“Ia menjadi antara strategi utama negara dalam menyediakan modal insan yang berkualiti, setanding dengan kehendak industri berteknologi tinggi.
“Ini sejajar dengan aspirasi negara untuk membina ekonomi berpendapatan tinggi yang mampan,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) pertama bagi tahun 2025.
Justeru Ahmad Zahid juga mengajak semua pihak termasuk kementerian, industri, dan masyarakat terlibat aktif dalam memastikan TVET menjadi pemacu utama ekonomi Malaysia.
Pada mesyuarat sama, beberapa inisiatif strategik turut dibincangkan termasuk pembangunan teknousahawan TVET.
Turut diberi perhatian dalam mesyuarat berkenaan adalah status pelaksanaan Data Raya TVET, pelaksanaan penarafan tunggal program TVET serta dapatan penilaian akreditasi Program Diploma Vokasional Malaysia.
Tegas beliau kesemua inisiatif berkenaan dibincangkan di mesyuarat mencerminkan langkah proaktif Kerajaan Perpaduan dalam memperkukuh ekosistem TVET negara.
Selain itu, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 kali ini bakal menganjurkan ASEAN TVET Council (ATC) Regional Policy Dialogue bersempena Hari TVET Negara 2025, Jun ini.
Penganjuran berkenaan katanya adalah bukti komitmen kita dalam memperkukuh kerjasama serantau dalam usaha melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dan berdaya saing. – MalaysiaMADANI