Berita

Jenayah laut di kawasan ‘hotspot’ meningkat musim perayaan, APMM lancar OPs Khas Pagar Laut 2025

Kes pelanggaran undang-undang laut dan rentas sempadan di kawasan hotspot meningkat tinggi terutama musim perayaan sekali gus boleh mencatat kerugian besar kepada negara, kata Menteri Dalam Negeri.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagi memastikan seluruh perairan negara kekal selamat dan terjamin satu operasi Ops Khas Pagar Laut APMM Siri 1/2025 dilancarkan di seluruh negara.

“Operasi yang akan digerakkan di seluruh perairan negara ini adalah bertujuan untuk mengekang dan memerangi jenayah rentas sempadan, khususnya di kawasan ‘hotspot’ pada bulan Ramadan dan Syawal,” katanya.

Terdahulu beliau hadir menyempurnakan Majlis Peluncuran Ops Khas Pagar 2025 di atas Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah di Jeti Pusat Hidrografi Nasional, Pelabuhan Klang.

Beliau turut mengambil berpeluang berbuka puasa bersama anggota APMM yang bertugas menjaga perairan negara.

Mengulas lanjut mengenai Ops Pagar Laut beliau berkata, operasi yang berkuat kuasa semalam itu akan berlangsung sehingga 15 Syawal dan melibatkan empat fasa utama.

Ia akan melibatkan fasa pengumpulan maklumat, penguatkuasaan sebelum perayaan, penguatkuasaan selepas perayaan dan penilaian operasi.

“Operasi ini amat penting bagi memastikan keselamatan negara serta mengelakkan kerugian jutaan ringgit akibat jenayah rentas sempadan,” katanya.

Tambah beliau sejak pelaksanaannya 2020 hingga 2024, Ops Pagar Laut berjaya menumpaskan 251 kes, dengan nilai rampasan hampir RM110 juta.

Katanya daripada jumlah berkenaan Sabah mencatatkan kes paling tinggi iaitu 69 kes diikuti Perak 57 dan Johor 31 kes.

“Ini telah membuktikan keberkesanan operasi ini dalam membanteras jenayah maritim yang berpotensi membawa kerugian besar kepada negara,” tegas beliau – MalaysiaMADANI