Kabinet memutuskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh memberikan nasihat kepada umat Islam berkaitan keperluan menjaga akidah dalam menghadiri majlis di rumah ibadat bukan Islam.
Nasihat berkenaan bagaimanapun tidak boleh bersifat dasar kerana dasar yang dirangka kerajaan mestilah bersifat perpaduan.
Perkara berkenaan dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menerusi kenyataan bersama.
“Jakim boleh memberi nasihat kepada orang Islam berkaitan keperluan menjaga akidah umat Islam berhubung perkara ini, namun nasihat tersebut tidak bersifat dasar.
“Pada masa sama Kementerian Perpaduan Negara akan terus menyemarakkan pelaksanaan Dialog Harmoni bagi memperkukuhkan keharmonian dan menggalakan interaksi antara penganut pelbagai kaum di negara ini,” kata kenyataan bersama itu.
Mengulas lanjut kenyataan berkenaan memaklumkan keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas kenyataan itu, ia susulan kekeliruan yang timbul berhubung cadangan garis panduan mengenainya.
“Perkara ini berbangkit susulan beberapa pertanyaan daripada umat Islam tentang jemputan ke majlis anjuran masyarakat bukan Islam yang mungkin melibatkan unsur-unsur keagamaan,” katanya.
Pada masa sama kenyataan memaklumkan, Kementerian Perpaduan akan terus menyemarakkan pelaksanaan dialog pelbagai agama untuk membina kesepaduan nasional.
“Kementerian Perpaduan Negara akan terus menyemarakkan pelaksanaan Dialog Harmoni bagi memperkukuh keharmonian dan menggalakkan interaksi antara penganut pelbagai agama di negara ini.
“Perbincangan yang inklusif dengan mengambil kira sensitiviti semua pihak adalah amat penting dalam membina kesepaduan nasional.
“Justeru, segala perkara berkait rapat dengan keharmonian antara penganut agama akan dibincangkan secara lanjut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) yang dipengerusikan bersama,” menurut kenyataan itu lagi. – MalaysiaMADANI