Berita

PM Singapura, Lawrence Wong diberi sambutan rasmi

Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong yang dalam lawatan keduanya ke Malaysia diberi sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra, kira-kira 9.50 pagi tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan Wong yang diiringi isterinya, Loo Tze Lui sebelum kedua-dua lagu negara dimainkan.

Wong kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan terdiri daripada 103 anggota dan tiga pegawai dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Ini merupakan lawatan kali kedua Wong ke Malaysia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Singapura pada 15 Mei 2024, dengan lawatan pertamanya ialah pada 11 Jun tahun lalu.

Beliau tiba di Malaysia untuk mengadakan lawatan rasminya selama dua hari bersempena Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11 (11th Malaysia-Singapore Leaders’ Retreat – ALR).

Kedua-dua pihak dijangka menilai kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Singapura serta membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Mereka juga dijadual menyaksikan enam Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu Surat Niat yang merangkumi pendidikan, wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar dan usaha memerangi jenayah rentas sempadan.

Semalam, Wong diraikan dalam satu majlis makan malam di Rumah Tangsi bersama Perdana Menteri.

Ketibaan Wong disambut Anwar di Rumah Tangsi kira-kira jam 8.20 malam tadi, disusuli perbincangan empat mata secara tertutup sambil menjamu selera selama hampir dua jam, berkaitan usaha meningkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara.

Tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. – MalaysiaMADANI