Berita

Kerajaan MADANI beri perhatian khusus isu sosio-ekonomi Kelantan

PERDANA Menteri berkata isu rakyat seperti kemiskinan tegar, pembangunan infra dan kemudahan asas adalah tekad komitmen berterusan Kerajaan MADANI.

Justeru Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua kementerian dan agensi supaya memberi perhatian khusus dan segera dalam menoktahkan kemiskinan tegar di Kelantan.

“Dalam membincangkan penyelesaian isu-isu pembangunan di negeri Kelantan, saya telah menekankan kepada kerajaan negeri dan kementerian terkait untuk memberi fokus dalam usaha menoktahkan miskin tegar .

“Saya berharap semua kementerian dan agensi yang berkaitan memberi perhatian khusus dan segera bagi memastikan kelancaran perancangan dan pelaksanaan projek-projek di Kelantan ini secara berkesan,” katanya.

Perkara berkenaan dibincangkan ketika menghadiri Taklimat Pembangunan Negeri Kelantan bersama Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud dalam lawatan ke negeri tersebut.

Beliau pada masa sama berharap pembukaan terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) fasa 1 yang baharu dibuka akan menjana lebih banyak peluang ekonomi di negeri tersebut.

Malah, boleh menerokai kemajuan dan pembangunan agar terus dirasai di Kelantan selepas ini.

“Insya-Allah, projek-projek ini merupakan inisiatif berimpak tinggi kepada rakyat, khususnya warga Kelantan di kawasan luar bandar yang akan menikmati manfaat dalam jangka masa panjang. – MalaysiaMADANI