Berita

Unit komunikasi kementerian perlu sebar luas kejayaan kerajaan- PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak harapan tinggi terhadap prestasi dan gerak kerja Setiausaha Akhbar dan Unit Komunikasi Korporat yang berperanan penting dalam menyebar luas dasar, inisiatif dan pencapaian Kerajaan.

Katanya, jentera utama komunikasi Kerajaan mempunyai peranan penting dalam merangka strategi komunikasi dan naratif berkesan.

Ia dilihat sangat penting dalam melawan fitnah dan tipu daya pihak-pihak tertentu yang menangguk di air yang keroh terhadap usaha Kerajaan merungkai masalah rakyat selain mengangkat kembali martabat negara ini.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan penutupan Permukimaan Setiausaha Akhbar dan ketua Unit Komunikasi Korporat, 17 Februari lalu.

Tegas beliau, usaha dan pendekatan yang diambil tidak akan membawa hasil yang segera, tetapi apa yang pasti rakyat mendapat manfaat dalam tempoh jangka masa panjang.

Beliau pada masa sama meletakkan keyakinan tinggi supaya permukiman ini dapat memperbaiki dan memperkukuh usaha Kerajaan dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan terus kepada rakyat.