Berita

Malaysia, Kanada perkukuh kerjasama sektor pertanian dan keterjaminan makanan

Malaysia dan Kanada terus komited mengukuhkan kerjasama dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan di kedua-dua negara.

Perkara itu disuarakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup ketika menerima kunjungan Menteri Pertanian dan Agri-Makanan Kanada, Lawrence MacAulay, di pejabatnya, di Putrajaya, 20 Februari lalu.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin itu bersedia membincangkan usaha bagi mengukuhkan kerjasama teknikal dalam bidang penyelidikan dan Pembangunan pertanian.

Antara bidang yang akan terlibat termasuk dalam sektor pertanian, perikanan dan ternakan.

“Semasa pertemuan tersebut, Arthur juga memperkenalkan beberapa produk pertanian tempatan yang berkualiti seperti nanas sambil menyatakan hasrat untuk mengeksport buah-buahan tropikal itu ke pasaran Kanada,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Arthur menjemput Lawrence ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) yang dijadual berlangsung pada 11 hingga 22 September depan. – Malaysia MADANI