Berita

Anwar  bakal rasmi Pameran Welcome to Postnormal Times

PETALING JAYA: Pembukaan Pameran Welcome to Postnormal Times akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat ini.

Pameran itu berlangsung di KL Jazz & Art Centre, Wisma YPR di Kuala Lumpur dari 29 September hingga 15 Oktober ini.

Ia adalah kerjasama antara Institut Pemikiran Islam Antarabangsa, Asia Timur dan Asia Tenggara (IIIT) dan Pusat Kajian Masa Hadapan dan Polisi Pascanormal (CPPFS).

Dalam kenyataan bersama, Pengarah IIIT, Prof. Datuk Dr. Mohamad Fauzan Noordin dan Pengarah CPPFS, Prof. Ziauddin Sardar berkata, pameran itu meneroka teori mengenai kehidupan manusia pasca normal dan ia banyak membantu dalam pembangunan rangka kerja dasar Madani yang dipelopori Perdana Menteri.

“Unsur-unsur teori pasca normal akan dibentangkan dan ia dibandingkan dengan contoh senario sebenar yang berlaku di dunia ketika ini.

“Untuk bergerak melangkaui pasca normal memerlukan kajian mendalam dalam cara kita hidup dan bertindak, pilihan yang kita buat,dan cara kita berfikir serta membayangkan terutama mengenai masa depan,” katanya.

Pameran ini turut menganjurkan bengkel, seminar dan syarahan awam yang berlangsung di bawah naungan IIIT dan CPPFS. – UTUSAN