Berita

Pelabur fokus tiga perkara selepas PRN berakhir

KUALA LUMPUR: Pelabur akan menumpukan kepada tiga perkara utama dalam separuh kedua tahun ini iaitu Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), Pelan Induk Perindustrian Baharu dan Belanjawan 2024 selepas berakhirnya enam Pilihan Raya Negeri (PRN), demikian menurut penganalisis.

Ketua Penyelidik TA Securities, Kaladher Govindan, berkata dasar dan inisiatif strategik di bawah rancangan jangka pendek dan panjang itu harus selaras dengan bidang tumpuan rangka kerja Ekonomi MADANI.

“Bidang tumpuan Ekonomi MADANI menyasarkan pertumbuhan ekonomi, kemampanan fiskal, daya saing dan keserantauan, tadbir urus yang baik, pertumbuhan inklusif, pekerjaan berkualiti dengan gaji lebih tinggi dan peluang yang saksama,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Mengenai jangkaan prestasi indeks FBM KLCI, Govindan berkata, pasaran berkemungkinan memperlihatkan pembetulan serta-merta bagi indeks penanda aras Bursa Malaysia itu minggu ini selepas tamatnya enam PRN Sabtu lalu yang menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan mengenai hala tuju masa depan negara.

Justeru, beliau berkata, sektor yang agak defensif seperti pengguna, utiliti dan penjagaan kesihatan boleh berada di bawah radar pelaburan minggu ini tetapi sentimen boleh bertambah baik apabila kerajaan mendedahkan lebih banyak butiran mengenai rancangan jangka pendek dan panjang, selain melaksanakan pelbagai langkah untuk meningkatkan aktiviti domestik.

“Seperti yang dijangkakan, gabungan membabitkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kawasannya di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, manakala Perikatan Nasional (PN) mengekalkan penguasaannya di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Bagaimanapun, kejayaan besar yang dibuat oleh PN di ketiga-tiga negeri yang dimenangi oleh Kerajaan Perpaduan adalah di luar jangkaan dan boleh mencalar sentimen saham tempatan berikutan asas populariti yang semakin meningkat itu boleh menggegarkan prinsip asas penubuhan negara ini.

“Hasilnya, meletakkan Kerajaan Perpaduan di tempat yang mencabar untuk mendapatkan semula sokongan orang ramai, terutamanya Melayu, di samping mengekang keupayaannya untuk bebas melaksanakan langkah bukan populis yang dianggap penting untuk meningkatkan kewangan dan daya saing jangka panjang negara,” katanya.

Sementara itu, Affin Hwang Investment Bank berkata, kemenangan di tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan memberikan mandat yang mantap kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, katanya, ia juga membolehkan kerajaan semasa kepastian untuk memerintah sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Dengan kepastian itu, ia berkata, terdapat juga sabitan yang lebih tinggi dari segi pelaksanaan dan penyempurnaan pembaharuan struktur yang amat diperlukan dan transformasi ekonomi yang perlu untuk negara.

“Walau bagaimanapun, kami mengekalkan pendirian ‘neutral’ dan sasaran FBM KLCI akhir tahun pada 1,438 mata (berdasarkan nisbah pendapatan jangkaan 2024 sebanyak 15.7 kali) memandangkan jangkaan turun naik tidak menentu.

“Ini susulan ketidaktentuan ekonomi global dan risiko kemelesetan di Amerika Syarikat (AS),” katanya.