Berita

Libat urus peserta industri jayakan Ekonomi MADANI

KUALA LUMPUR: Libat urus antara kerajaan dan peserta industri akan memastikan perancangan Ekonomi MADANI dapat dilaksanakan dengan baik, demikian menurut persatuan industri.

Hal ini kerana, rangka kerja Ekonomi MADANI yang bertujuan membawa Malaysia bergerak menjadi juara pada peringkat serantau dan global bukan tugas kerajaan semata-mata, tetapi memerlukan perkongsian bersama industri.

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai, berkata kerajaan dicadangkan menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama Antara Kementerian Ekonomi dengan pembabitan sektor swasta bagi merealisasikan sasaran Ekonomi MADANI.

Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata jawatankuasa kerja bersama itu adalah bagi menyelaraskan semua strategi dan petunjuk prestasi utama (KPI) serta pelan tindakan.

“FMM bersetuju bahawa kunci kejayaan pelaksanaan Ekonomi MADANI adalah pelaksanaan inisiatif dan pembaharuan yang berkesan dan cekap serta tadbir urus yang baik.

“Apa yang paling penting ialah perundingan pihak berkepentingan secara berkala untuk memastikan bahawa inisiatif itu seiring dengan keadaan ekonomi dan perniagaan semasa untuk industri kekal berdaya saing dan mampan serta terus berkembang,” katanya kepada BH.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng, pula berkata cabaran terbesar bagi PKS bukan aliran tunai yang lemah atau kekurangan peluang perniagaan, sebaliknya margin perniagaan yang rendah akibat produktiviti buruh yang kurang memberangsangkan.

Beliau berkata, usaha kerajaan membetulkan ketidakpadanan buruh dan menambah baik gaji rakyat sambil mewajibkan peningkatan kemahiran serta menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat adalah tepat.

Hal ini kerana, katanya, apabila produktiviti buruh bertambah baik, maka secara semula jadi perniagaan akan dapat membayar gaji jauh lebih tinggi.

Walau bagaimanapun, katanya, PKS berharap satu Jawatankuasa Pekerjaan Masa Depan ditubuhkan dengan segera dan diwakili oleh pemimpin sektor swasta dan awam untuk membolehkan lebih ramai rakyat mengecapi hasil daripada pertumbuhan ekonomi negara.

“Kami bersetuju bahawa gaji di Malaysia terlalu rendah, dan harus disemak semula. Namun, ini tidak boleh dilakukan secara terburu-buru dan mesti disertai dengan peningkatan dalam produktiviti buruh dan margin keuntungan.

“Sebahagian besar daripada sebab gaji tidak berubah adalah bersifat struktural, budaya pembelajaran yang merosot, ketidakpadanan dalam hasil pendidikan dan keperluan industri, tenaga kerja yang tidak lagi mahukan pampasan berasaskan masa, selain persaingan sengit serantau untuk bakat pekerja.

“Ini tidak boleh diselesaikan dengan hanya memaksa perniagaan membayar lebih,” katanya.

Ng berkata, selain penumpuan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), kerajaan juga mesti memberi penekanan sama kepada inovasi asli dan beralih daripada naratif ‘Buatan Malaysia’ kepada paradigma ‘Inovasi Malaysia’.

Beliau berkata, ini bermakna jika Malaysia masih meneruskan pendekatan berasaskan insentif untuk menarik pelaburan langsung asing, negara juga perlu mewajibkan pemindahan teknologi dan bantuan dalam memperkenalkan inovasi Malaysia ke dalam rantaian bekalan global, sebagai antara kriteria untuk insentif berkenaan.