KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan pelaksanaan 900 program Jualan Agro Madani di seluruh negara yang melibatkan seramai 13,000 orang usahawan pada tahun ini.
Katanya, KPKM juga menyasarkan nilai jualan berjumlah RM13.5 juta daripada program itu.
“Dianggarkan sejumlah 1.8 juta isi rumah golongan pendapatan B40 dan M40 akan menikmati penjimatan melalui program Jualan Agro Madani ini.
“Untuk rekod, sehingga 30 April lalu, sebanyak 424 program telah dianjurkan melibatkan 6,312 orang usahawan dengan nilai jualan sebanyak RM9.35 juta,” kata kementerian itu dalam kenyataan semalam.
Menurut KPKM, program ini bertujuan untuk meningkatkan kebolehcapaian dan ketersediaan bagi pengguna mendapatkan bekalan produk-produk segar terpilih pada kadar harga yang berpatutan dengan penjimatan di antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.
“Antara produk yang ditawarkan termasuk produk segar sayur, buah, ayam, telur, ikan, daging dan produk barang kawalan.
“Program ini juga dapat mengurangkan lapisan perantara pasaran daripada pengeluar kepada pengguna melalui konsep jualan terus,” katanya lagi.
Jelasnya, program Jualan Agro Madani membuktikan keprihatinan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan nasib golongan yang memerlukan sentiasa terpelihara dalam menghadapi cabaran kos sara hidup yang tinggi.
Program Jualan Agro Madani diadakan di Pekarangan Bangunan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Kompleks C, Putrajaya dan di Pekarangan Bangunan Jabatan Perdana Menteri di Kompleks B, Putrajaya, hari ini.
Ia juga akan diadakan di Pekarangan Bangunan Kementeriann Kerja Raya (KKR) di Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur pada Jumat 26 Mei esok, bermula jam 11 pagi hingga 2 petang.
Program Jualan Agro Madani merupakan penjenamaan semula kepada program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). -MalaysiaGazette