Kuala Lumpur: Belanjawan 2024 yang dibentangkan mengenal pasti kesukaran kewangan yang dialami golongan muda selepas beberapa inisiatif diumumkan kerajaan semalam.
Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi (SERI) berkata, perluasan Dasar Peluang Kedua bagi mereka di bawah usia 40 tahun dengan hutang di bawah RM200,000 dan peningkatan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) daripada RM350 kepada RM500 menunjukkan komitmen kerajaan untuk meringankan beban kewangan golongan itu sekali gus meningkatkan kualiti hidup mereka.
Badan pemikir bebas itu berkata, keputusan mengehadkan yuran Universiti Awam (UA) kepada RM1,500 bermula Januari 2024 dan membenarkan pelajar yang kurang berkemampuan dari segi kewangan mendaftar untuk subjek tanpa bayaran segera juga perlu dipuji.
“Selain itu, keputusan untuk menyediakan pinjaman pendahuluan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), dengan menawarkan RM1,500 kepada bakal penuntut layak adalah satu langkah penting ke arah meningkatkan akses pendidikan tinggi untuk semua yang layak.
“SERI juga menyokong inisiatif pendigitalan Bajet 2024 dengan peruntukkan RM40 juta bagi Program Shop Malaysia Online dan mengurangkan tempoh tuntutan elaun modal untuk peralatan ICT.
“Bagaimanapun, ketiadaan usaha pelengkap untuk meningkatkan kemahiran digital dalam kalangan usahawan tempatan menjadi jurang penting dalam dasar berkenaan. Kekurangan ini mungkin menghalang keberkesanan keseluruhan strategi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SERI, Dr Helmy Haja Mydin berkata, Belanjawan 2024 menunjukkan komitmen kerajaan untuk menangani ketidaksamaan.
“Bagaimanapun, cabarannya adalah dalam pelaksanaan dan kerajaan mesti bekerja keras untuk memastikan asasnya sepadan dengan retorik,” katanya.
Secara keseluruhan, SERI menghargai dedikasi kerajaan untuk menangani ketidaksamaan dan kemampanan melalui nilai-nilai Madani.
Namun, badan pemikir itu menekankan kepentingan pelaksanaan yang berkesan dengan menggesa tindakan sejajar dengan retorik dan merapatkan jurang antara janji dan realiti.
Katanya, pihaknya menyokong usaha yang berterusan dan memberi impak, menekankan keperluan mendesak dan kepentingan tindakan penggubal dasar dalam membentuk masa depan yang lebih sama rata dan mampan.
SERI adalah badan pemikir non-partisan khusus untuk menggalakkan dasar berasaskan bukti yang menangani isu ketidaksamaan, terutamanya di persimpangan teknologi dan masyarakat.