Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Bahrain atas kepercayaan kepada Malaysia dan Litar Antarabangsa Sepang untuk menjayakan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026.
Beliau berkata, penganjuran perlumbaan berprestij itu bukan sahaja dinantikan oleh peminat Formula 1, malah turut mempereratkan lagi persahabatan kedua-dua negara.
Kata beliau, kerjasama erat Sepang International Circuit (SIC) dan Bahrain International Circuit (BIC), disertai komitmen seluruh pasukan penganjur telah memungkinkan perlumbaan ini berlangsung dengan jaya.
“Salut kepada semua yang bertungkus-lumus, daripada pemandu bas, anggota keselamatan dan sukarelawan hingga peniaga serta petugas kebersihan.
“Di sebalik kemeriahan ini, ada keringat dan kesungguhan mereka yang wajar kita hargai,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih kepada peminat Formula 1 dari seluruh dunia yang hadir dan terutamanya rakyat Malaysia yang memeriahkan perlumbaan.
Menurut beliau, rakyat Malaysia telah menyambut para tetamu dari luar dengan penuh kemesraan dan budi bahasa.
“Kalian telah memperlihatkan wajah Malaysia yang mesra, terbuka dan kaya dengan semangat muhibah.
“Semoga kita ketemu lagi di Sepang. Insya-Allah!,” kata Perdana Menteri. -MalaysiaMADANI
