Berita, Siaran Media

KKR cadang sistem data bersepadu untuk penyelenggaraan jalan lebih efisien

Pengurusan jalan raya negara bakal memasuki era baharu apabila Kementerian Kerja Raya (KKR) mengemukakan cadangan mewujudkan Deklarasi Data Aset Jalan (DDJ) bagi membangunkan sistem pengurusan aset yang lebih pintar, bersepadu dan berpaksikan data.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, inisiatif itu asas kepada transformasi pengurusan aset jalan raya negara dengan membolehkan perancangan penyelenggaraan dilaksanakan secara lebih proaktif dan berkesan.

“Dalam era ekonomi digital, data berkualiti menjadi elemen penting dalam meningkatkan kecekapan pentadbiran, memperkukuh daya saing ekonomi serta memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih efektif kepada rakyat.

“KKR membentangkan kertas cadangan Deklarasi Data Aset Jalan yang memberi fokus kepada pembangunan ekosistem data jalan negara yang lebih bersepadu dan berautoriti melalui penggunaan platform analitik serta respositori data nasional,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Cadangan berkenaan dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN) Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Fadillah Yusof.

Katanya, penyelarasan data jalan di peringkat nasional juga membolehkan perubahan pendekatan daripada penyelenggaraan secara reaktif kepada penyelenggaraan ramalan yang lebih sistematik dan berasaskan data.

Malah, pendekatan baharu itu akan membantu pihak berkaitan membuat keputusan berdasarkan analisis dan fakta, berbanding hanya bergantung kepada aduan yang diterima daripada pengguna jalan raya.

“Melalui penyelarasan data yang menyeluruh, kita dapat merealisasikan peralihan daripada membuat keputusan berdasarkan aduan semata-mata kepada keputusan yang disokong data dan bukti.

“Inilah aspirasi sebenar MYJalan, iaitu memastikan setiap aduan rakyat didengari, setiap ringgit dibelanjakan secara bertanggungjawab dan setiap keputusan dibuat demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, pengukuhan sistem pengurusan data jalan turut diyakini mampu meningkatkan tahap keselamatan infrastruktur, selain memastikan sumber kewangan kerajaan digunakan secara lebih optimum dan berimpak tinggi. – MalaysiaMADANI