Penantian selama 44 tahun akhirnya menjadi kenyataan apabila Majlis Pecah Tanah Perumahan Kekal Penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara dilaksanakan oleh kerajaan bagi membantu masyarakat memerlukan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bukan sahaja merupakan detik yang amat bermakna dan membahagiakan buat penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara, malah menjadi bukti bahawa pentadbiran yang berteraskan nilai MADANI sentiasa mengangkat keadilan, ihsan serta martabat rakyat sebagai keutamaan.
Beliau berkata, setelah lebih empat dekad menghuni penempatan sementara dalam serba keterbatasan, akhirnya penduduk di situ dapat menyaksikan Majlis Pecah Tanah Perumahan Kekal Penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara sebagai langkah tuntas ke arah penyelesaian yang sekian lama dinantikan.
“Ucapan saya sewaktu majlis tersebut menyentuh usaha kerajaan yang meneliti jalan terbaik bagi merungkai permasalahan yang berlarutan sejak sekian lama dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat demi memastikan penduduk memperoleh hak serta jaminan kehidupan yang lebih teratur dan bermaruah,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Kata beliau, pengalaman mengajar tentang pentingnya menghormati proses perundangan serta institusi negara dan Kerajaan tetap berpegang teguh kepada prinsip bahawa hak dan kebajikan golongan yang memerlukan mesti terus dipelihara, dengan keadilan yang dinikmati oleh semua rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang selain memastikan agenda membela nasib golongan miskin bandar terus menjadi keutamaan.
Menurut beliau lagi, pembangunan yang dilaksanakan mesti bersifat inklusif dan membawa manfaat kepada semua lapisan masyarakat kerana kemajuan sebenar sesebuah negara hanya bermakna apabila tiada rakyat yang tercicir atau dipinggirkan daripada arus pembangunan.
Di majlis tersebut, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan geran berjumlah RM1 juta bagi membantu meringankan beban penduduk rumah panjang melalui penyediaan subsidi penyelenggaraan kediaman untuk tempoh tiga tahun yang akan diuruskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Ia sebagai sebahagian daripada komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup penduduk terus terpelihara selepas mereka berpindah ke penempatan baharu,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
