Berita

Saringan kesihatan percuma, pelbagai aktiviti kesihatan menarik di reruai KKM

Reruai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima sambutan hangat daripada orang ramai sempena penganjuran Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Kebangsaan 2026 di Likas, Sabah.

KKM berkata, sejak hari pertama penganjuran SMP oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu pada Khamis, reruai KKM mendapat perhatian seluruh lapisan masyarakat di Negeri Bawah Bayu tersebut. 

“Reruai KKM menjadi antara lokasi pilihan pengunjung dari pelbagai lapisan umur yang hadir untuk mendapatkan maklumat kesihatan, menjalani saringan kesihatan percuma, rawatan pergigian serta pelbagai aktiviti interaktif lain yang disediakan,” kata KKM menerusi laman media sosialnya.

Menurutnya, dengan berbaki hanya dua hari lagi sebelum program SMP melabuhkan tirainya, orang ramai khususnya warga negeri Sabah dijemput untuk mengunjungi reruai KKM dan merebut peluang menikmati pelbagai pengisian bermanfaat disediakan.

“Ayuh datang beramai-ramai dan jadikan kesihatan sebagai agenda bersama selaras dengan semangat perpaduan yang menjadi tunjang keharmonian negara.

“Sehingga Sabtu, waktu operasi perkhidmatan KKM di SMP bermula jam 10 pagi hingga 8 malam, tetapi pada Ahad dari 10 pagi sehingga 5 petang. Kemasukan adalah percuma,” ujarnya. -MalaysiaMADANI