Kesungguhan kerajaan memperkukuh agenda reformasi sektor awam tidak pernah terhenti sebaliknya dipertingkatkan demi memastikan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara terus terpelihara.
Perkara itu dibuktikan menerusi mesyuarat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) Bilangan 6 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, mesyuarat tersebut meneliti pelbagai cadangan dan inisiatif strategik bagi memperkukuh reformasi sektor awam, meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan, memperkasakan tadbir urus serta memperkukuh aspek penguatkuasaan.
“Selaras dengan penegasan Perdana Menteri mengenai keperluan melindungi kepentingan nasional dan kedaulatan ekonomi negara, mesyuarat turut memberi perhatian kepada isu persaingan warga asing dalam penguasaan sektor perniagaan peruncitan yang boleh menjejaskan peluang serta daya saing peniaga tempatan,” kata KDN memetik sumber daripada STAR.
Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr Awang Alik Jeman dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail.
Kata KDN, antara fokus utama yang dipersetujui adalah memperkukuh penguatkuasaan bersepadu melibatkan kementerian, agensi, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.
Selain itu menurutnya, pelaksanakan hebahan serta kempen pencegahan yang lebih meluas, berterusan dan bersasar kepada masyarakat, seterusnya memastikan pematuhan undang-undang serta peraturan bagi melindungi kepentingan ekonomi dan kedaulatan negara.
Tambahnya lagi, mesyuarat juga bersetuju memperkasa kerjasama merentas agensi bagi mempercepat pelaksanaan agenda reformasi sektor awam secara berfokus dan berimpak tinggi.
Katanya, STAR akan terus memainkan peranannya sebagai platform penyelarasan strategik merentas agensi dalam memastikan reformasi sektor awam dilaksanakan secara cekap, berintegriti serta memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“KDN komited menyokong pendekatan ‘Whole-of-Government’ dalam memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memastikan kepentingan nasional sentiasa menjadi keutamaan,” ujarnya. -MalaysiaMADANI
