Malaysia mempunyai potensi besar untuk memainkan peranan sebagai kuasa pertengahan yang dihormati dan dipercayai di peringkat antarabangsa.
Pengarah Centre on Contemporary China and the World (CCCW), Profesor Li Cheng berkata, Malaysia menunjukkan kebijaksanaan dalam mengimbangi hubungan antarabangsa tanpa perlu memihak kepada mana-mana kuasa besar.
Tegas beliau, Malaysia tetap berpendirian tegas dalam isu-isu sejagat seperti alam sekitar, kawalan senjata nuklear, ketidaksamaan ekonomi dan kepentingan bersama dunia.
“Malaysia berada pada kedudukan penting dalam landskap geopolitik yang sedang berubah selain menjadi antara negara yang menikmati manfaat daripada proses globalisasi bersama China dan negara-negara ASEAN lain.
“Malaysia dan China sama-sama mendapat manfaat daripada globalisasi. Kebangkitan China dan Malaysia berlaku seiring dan kedua-dua negara boleh bekerjasama memainkan peranan penting dalam mewujudkan keamanan serta kemakmuran serantau dan global,” ketika menyampaikan syarahan umum di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), semalam.
Beliau pada masa sama berharap Malaysia dan China dapat berkongsi pengalaman pembangunan yang berjaya dengan negara-negara lain termasuk negara Barat serta negara-negara Selatan Global.
Sementara itu, menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar luar yang seimbang, Malaysia sentiasa berusaha menjadi rakan yang dipercayai kepada semua pihak.
Malah, negara terus komited dalam mempertahankan prinsip keamanan, keadilan dan kemakmuran bersama.
“Sesebuah negara tidak hanya diukur melalui saiz atau kekuatan ketenteraan, tetapi melalui keupayaan membina jambatan persefahaman, memupuk dialog dan menyumbang kepada keamanan dunia,”katanya.
Mengulas lanjut Zambry berkata, Malaysia turut menekankan kepentingan pendidikan tinggi sebagai medium memperkukuh persefahaman antara negara dan menyumbang kepada keamanan dunia. – MalaysiaMADANI
