Sebarang isu berkaitan pembinaan rumah ibadat hendaklah diselesaikan melalui dialog dan rundingan bersama semua pihak berkepentingan, tegas Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang memaklumkan menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menegaskan sebarang sebarang isu berkaitan pembinaan rumah ibadat mesti dipatuhi undang-undang dan tidak dipolitikkan.
Malah, KPN juga menyokong cadangan yang dikemukakan oleh Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, bahawa sebuah jawatankuasa peringkat nasional perlu ditubuhkan untuk menangani isu rumah ibadat haram secara menyeluruh di seluruh negara.
“Keanggotaan jawatankuasa itu hendaklah merangkumi pakar dalam hal ehwal agama, kerajaan tempatan, tanah, dan undang-undang, bagi memastikan penyelesaian yang adil dan berlandaskan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, pihaknya memberi ruang penuh kepada proses perbincangan dan rundingan yang konstruktif. Kita mesti pastikan proses ini adil, harmoni, dan berlandaskan undang-undang.
“Percubaan mempolitikkan isu rumah ibadat adalah tidak wajar,” katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam titahnya menekankan Malaysia adalah sebuah negara yang dibina atas asas keharmonian, dan kekuatan negara terletak pada semangat saling menghormati, toleransi, serta pematuhan kepada undang-undang. – MalaysiaMADANI
