Berita

25 institusi disatukan di bawah jenama TVETMARA

Penjenamaan TVET MARA yang menyatukan 25 institusi agensi tersebut adalah bukti komitmen Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk melahirkan graduan berkemahiran tinggi, diyakini industri dan bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0, automasi serta peralihan teknologi hijau dan tenaga.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Inisiatif berkenaan memposisikan TVET MARA sebagai platform bersepadu dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang diyakini industri.

“Pada saya, penjenamaan ini membawa mesej yang jelas di mana TVET MARA kini melangkah ke fasa baharu dengan identiti yang lebih kukuh, standard yang lebih tersusun serta hala tuju yang selari dengan keperluan industri masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Peluncuran Penjenamaan TVETMARA di Institut Kemahiran MARA Seberang Perai Utara. 

Katanya sejak sekian lama, TVET MARA menjadi antara tunjang utama dalam membina mobiliti sosial Bumiputera melalui pendidikan dan latihan kemahiran. 

Menerusi rangkaian Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan MJII, ribuan anak muda telah dilahirkan sebagai tenaga mahir industri, teknousahawan dan profesional teknikal yang menyumbang kepada ekonomi negara.

Pada masa sama beliau melihat IKM Seberang Perai Utara mempunyai potensi besar untuk menjadi hab TVET wilayah utara, khususnya dalam bidang elektrik dan tenaga.

Tegas beliau, dengan pelaksanaan Pelan Transformasi ke arah ‘National Electrical Energy Specialist Academy’ (NEST), institusi tersebut berperanan penting dalam melahirkan pakar tenaga dan tenaga boleh diperbaharui, selari dengan agenda peralihan tenaga negara.

Sementara itu Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan penjenamaan berkenaan penting kerana tidak mahu lagi pendidikan kemahiran dilihat sebagai sesuatu yang asas, tradisional atau konvensional. 

Malah, semua institusi MARA kini menawarkan program berstatus diploma dan disokong dengan pensijilan profesional yang diiktiraf di dalam dan luar negara. 

“Inilah masa terbaik untuk mengangkat martabat TVET dan menarik lebih ramai anak muda menceburi bidang kemahiran berteknologi tinggi demi masa depan mereka dan negara,” katanya menerusi hantaran Facebook. – MalaysiaMADANI