Malaysia memikul amanah Kepengerusian ASEAN 2025 pada saat dunia berdepan keresahan dan ketidaktentuan, dan dalam suasana itu, ASEAN memilih untuk terus berpaut pada semangat kebersamaan, dialog dan saling menghormati, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selaku Pengerusi ASEAN, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 dan Ke-47 menjadi ruang untuk menyatukan pandangan dan merapatkan jurang.
Malah, katanya tahun ini turut mencatat detik bersejarah apabila Timor-Leste diterima sebagai keluarga baharu ASEAN.
“Setulus penghargaan dirakamkan kepada seluruh sahabat ASEAN serta pimpinan dunia yang hadir dengan kebijaksanaan dan keikhlasan demi kestabilan serta masa depan bersama rantau ini.,” katanya.
Beliau pada masa sama turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat atas sokongan yang dihulurkan sepanjang menjadi tuan rumah ASEAN.
“Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan dan layanan mesra yang dihulurkan kepada para tetamu sepanjang tahun ini.
“Kepengerusian ini mengangkat Malaysia sebagai rakan yang diyakini dalam usaha mengekalkan keamanan, kestabilan dan harapan di rantau ini. Semoga ia berkekalan, Insya-Allah,” ujarnya.
Sidang kemuncak kali ini yang bermula 26 hingga 28oktober lalu menjadi perhimpunan terbesar dalam sejarah penganjuran kumpulan serantau itu, dengan kehadiran pemimpin dunia seperti Presiden AS, Donald Trump; Perdana Menteri, China Li Qiang; Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa.
Acara ini juga menandakan kali kelima Malaysia mempengerusikan ASEAN sejak 1967, selepas memegang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Perhimpunan inijuga menjadi pertemuan terbesar dalam sejarah ASEAN, berfungsi sebagai platform penting untuk memperkukuh kerjasama mendalam bagi menangani cabaran serantau dan global secara menyeluruh dan inklusif. – MalaysiaMADANI
