Kesungguhan Kerajaan MADANI memacu kesejahteraan rakyat Sarawak terbukti menerusi pelaburan strategik dan pembangunan ekonomi inklusif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi langkah proaktif tersebut, ia bakal mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan baharu.
Malah beliau berkata, kerajaan juga memberi komitmen penuh terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pengurusan sumber minyak yang adil bagi memastikan manfaat ekonomi sampai terus kepada rakyat.
Jelas beliau lagi, setiap inisiatif dirancang dan dilaksanakan untuk membina Sarawak yang lebih maju, mampan dan sejahtera, demi manfaat hari ini dan generasi akan datang.
“Transformasi nyata untuk rakyat Sarawak sedang berjalan dan kita semua adalah sebahagian daripada perjalanan ini,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Sementara itu Perdana Menteri berkata, sepanjang 2025, Kerajaan MADANI melaksanakan reformasi institusi melalui langkah nyata.
Menurut beliau, reformasi itu termasuk RUU Perolehan Kerajaan yang menghadkan kuasa Menteri Kewangan, dengan keputusan berkaitan perolehan boleh dicabar dan dikaji semula secara bebas.
Dalam masa sama, beliau berkata, kecekapan perkhidmatan awam dipertingkat dan ketelusan audit kerajaan diperkuat.
Tegas beliau, reformasi dilaksanakan itu mengunci integriti perbelanjaan awam, memendekkan proses pentadbiran dan menutup ruang ketirisan yang boleh bermula sejak peringkat awal.
“Hasilnya, penyampaian perkhidmatan menjadi lebih pantas, pemantauan kewangan lebih telus, risiko rasuah dapat dikesan dan dicantas lebih awal.
“Ia membuatkan keyakinan pelabur dipulihkan serta daya saing Malaysia melonjak di peringkat global,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
