Berita

Segmen kerohanian, ketuhanan semarakkan program Rancakkan MADANI

Bukan sekadar pengisian keduniaan semata-mata, tetapi program Rancakkan MADANI yang berlangsung sehingga Ahad ini menampilkan pelbagai program Islamik dan kerohanian.

Bertempat di pentas utama di Dataran Putrajaya, pelbagai program berteraskan Islam dan memuji kebesaran Allah Yang Maha Esa disajikan kepada pengunjung.

Ibrah daripada satu-satu kejadian di muka Allah SWT dibicarakan dan dikongsikan dalam segmen-segmen khas sepanjang penganjuran, sekali gus menjadi pengajaran hidup yang bermakna.

Pada hari pertama penganjuran, program kerohanian yang dibawa secara langsung kepada orang ramai adalah segmen Battle Tarannum Qari Malaysia.

Segmen yang bermula jam 11.00 pagi itu menampilkan Ustaz Muhammad ‘Ammar Mukhlis Abdul Mohsin, Ustaz Amirahman Abas, Ustaz Tirmizi Ali, Ustaz Abdul Khair Jalil dan Ustaz Mohamad Husaini Mahmur.

Pada sebelah petangnya pula, berlangsung segmen Hijrah Artis Dari Cahaya Pentas Ke Cahaya Hidayah.

Bual bicara program itu menampilkan artis terkemuka seperti selebriti Zizi Kirana, Saiful Nang, Wan Sharmila dan Irma Hasmie.

Pada sebelah malamnya pula berlangsung segmen Malaysiaku Berselawat selama sejam bermula jam 9.00 malam.

Segmen itu menyajikan alunan qasidah, tausiyah dan alunan pujian bersama kumpulan qasidah Nur Ahli Badar dan Ahbabusham serta Ustaz Zul Ramli M. Razali. -MalaysiaMADANI