Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN 2025, yang dimulakan dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar di Langkawi pada 18 dan 19 Januari lalu, telah mengembalikan reputasi pulau tersebut sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.
Langkawi kini dilihat setanding dengan destinasi pelancongan terkenal dunia seperti Bali dan Phuket.
Lebih daripada itu, sidang kemuncak ini memberikan manfaat besar kepada penduduk tempatan, bukan sahaja melalui peningkatan publisiti tetapi juga melalui limpahan ekonomi yang dijana daripada kehadiran delegasi luar negara.
Aktiviti perhotelan, makanan dan minuman, serta pelbagai perkhidmatan sokongan lain menyaksikan lonjakan permintaan, yang secara langsung meningkatkan pendapatan komuniti setempat.
Melalui penganjuran ini, Langkawi tidak hanya menjadi tumpuan delegasi antarabangsa tetapi turut diperkukuh sebagai contoh sinergi antara sektor pelancongan dan ekonomi domestik, sejajar dengan aspirasi pembangunan mampan negara.
Menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Inap Desa Langkawi, Abdul Jamil Ali, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad lalu bukan sahaja menjadi peluang untuk menonjolkan keindahan semula jadi Langkawi, tetapi juga membuka pintu rezeki kepada masyarakat setempat.
“Bagi kami, ini adalah peluang keemasan selepas Langkawi mengalami kemerosotan pelancongan kira-kira tiga tahun lalu akibat pandemik COVID-19.
“Kehadiran delegasi antarabangsa ini tidak hanya memulihkan keyakinan terhadap Langkawi sebagai destinasi pelancongan, tetapi turut memberikan pengalaman yang pasti membuatkan mereka jatuh cinta dengan keunikan pulau ini,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa suasana inap desa di Langkawi, yang dikelilingi oleh sawah padi menghijau dan menawarkan pengalaman budaya tempatan, memberikan tarikan yang sukar ditemui di tempat lain.
“Meskipun kali ini mereka datang atas urusan rasmi, saya yakin pengalaman menikmati panorama indah dan keunikan sumber semula jadi Langkawi akan membuatkan mereka kembali semula bersama keluarga, memilih untuk menginap di inap desa kami yang menawarkan kelainan daripada penginapan biasa,” katanya dengan penuh keyakinan.
Penganjuran mesyuarat berprestij ini bukan sahaja mengangkat Langkawi sebagai lokasi diplomasi antarabangsa tetapi turut menonjolkan kepelbagaian produk pelancongan yang menjadi sumber pendapatan penting bagi komuniti tempatan.
Senada dengan itu, Penasihat Pesatuan Niaga Langkawi Datuk Alexander Isaac berkata, penganjuran acara penting ini kerana memberi manfaat bukan sahaja kepada Langkawi tetapi di seluruh Malaysia.
“Dengan kehadiran media antarabangsa tentunya kita dapat mendedahkan Langkawi yang sebenar dan ia sekali gus berjaya mengenepikan sebarang persepsi negatif mengenai Langkawi yang dicipta sesetengah pihak, sebelum ini,”katanya.
Beliau pada masa sama berharap pihak berwajib khususnya Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya akan memberi fokus kepada untuk mempromosikan Langkawi kepada pasaran ASEAN.
Katanya hubungan baik dengan jiran-jiran memberi banyak manfaat dan perlu menjadikan pelancongan sebagai perjalanan tanpa sempadan.
Sementara itu bagi Penasihat Persatuan Perniagaan Kaum Tionghua Langkawi Lee Han Eng pula berharap penganjuran acara berprestij ini membuka peluang lebih besar kepada penduduk tempatan .
Katanya pemimpin ASEAN telah mengenali Langkawi iaitu pulau bebas cukai dan ia merupakan pulau peranginan bertaraf dunia dan sebaris nama-nama pulau antrabangsa seperti Bali dan Phuket.
Beliau bagaimanapun berharap lebih banyak penerbangan secara terus dari negara-negara luar ke langkawi bagi menambahkan jumlah pelancong ke pulau bebas cukai itu. – MalaysiaMADANI