Berita

KPKM mahu kurangkan jurang import dan eksport agromakanan

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kini mengambil langkah strategik dalam usaha meminimum pembaziran dengan mengurangkan defisit perdagangan agromakanan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah demikian berikutan rekod defisit yang mencatatkan nilai import makanan tahun 2023 sebanyak RM 78.7 bilion jauh melebihi nilai eksport sebanyak RM 46.4 bilion pada tempoh yang sama.

“KPKM kini sedang memfokuskan usaha untuk mengurangkan jurang antara import dan eksport agromakanan.

“Komitmen KPKM untuk mengurangkan defisit perdagangan agromakanan negara dalam tempoh yang terdekat dengan mengambil langkah-langkah praktikal seperti memulakan pengeluaran bawang merah dan mengukuhkan pengeksportan durian ke China.

“Kita juga sedang giat meneroka peluang pasaran baharu di luar negara termasuk potensi agromakanan di Russia,” katanya dalam Amanat sempena Sambutan Aidilfitri KPKM di MAEPS, Serdang.

Mohamad berkata meskipun mendepani pelbagai cabaran, sektor agromakanan menunjukkan pertumbuhan yang positif bagi tahun 2023.

Katanya, nilai ditambah sektor agromakanan meliputi pertanian, sektor pembuatan dan perkhidmatan bagi tahun 2023 berkembang 4.3 peratus kepada RM181.4 bilion daripada RM173.9 bilion pada tahun 2022.

“Ini memberi sumbangan yang signifikan kepada ekonomi negara sebanyak 11.6 peratus,”katanya.

Katanya, prestasi bagi ketiga-tiga sektor agromakanan juga menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan iaitu 2.1 peratus bagi sektor pertanian, 4.6 peratus bagi sektor pembuatan dan 5.7 peratus bagi sektor perkhidmatan.

Atas dasar itu, beliau menyeru semua pihak untuk bersama-sama meningkatkan usaha ini dalam mengukuhkan keterjaminan makanan negara dan mengekalkan kestabilan ekonomi. – MalaysiaMADANI