Berita

ATM siap siaga, ambil langkah proaktif hadapi banjir

ATM (Angkatan Tentera Malaysia) sentiasa melakukan persediaan menyeluruh bagi memastikan kecekapan dalam menangani sebarang kemungkinan dan mengekalkan impak negatif akibat banjir pada tahap minimum. 

Pada satu taklimat dihadiri Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima Tentera Darat dan Panglima Angkatan Tentera di Wisma Pertahanan, antara perkara dibincangkan adalah Operasi Murni – suatu tindak balas kepada kebarangkalian kejadian banjir.

Operasi ini melibatkan penyertaan 995 Pegawai dan 16,094 anggota daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Panglima Tentera Darat memberi jaminan bahawa ATM bersedia bertindak serta merta dengan kehadiran anggota tentera di lapangan adalah untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Kesiapsiagaan ini melibatkan pengurusan pemindahan mangsa banjir ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) serta penglibatan “Forward Medical Team” untuk menyokong Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menjalankan pemeriksaan kesihatan.

Dengan kerjasama rapat ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM, operasi ini diharap dilaksanakan dengan cekap dan efektif. Kepelbagaian kemahiran dan peralatan ATM dijangka memberikan sokongan dalam menangani sebarang kecemasan.

Semoga segala perancangan dan tindakan yang dirangka akan berjaya dan dipermudahkan, memberi impak positif kepada rakyat Malaysia yang terjejas. 

Ayuh bersama kita berdoa agar keadaan pulih dengan segera dan kehidupan normal dapat dikembalikan.