Berita

Takaful pertanian bantu perkukuh keterjaminan makanan

Pertanian sudah tentu menjadi sektor amat penting diberikan perhatian kerajaan sejak merdeka hingga kini dalam menjamin kecukupan bekalan makanan terutama padi dan beras, bahkan turut diletakkan sebagai fokus utama Ekonomi MADANI, iaitu ciri kelapan dalam menaikkan siling ekonomi negara.

Tahun ini sektor pertanian menyumbang 1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai RM24.7 juta pada suku pertama dengan dipacu sektor kelapa sawit berikutan peningkatan harga sawit dunia.

Bagaimanapun, perlu diingat sumbangan sektor pertanian terhadap KDNK negara berdasarkan angka itu dilihat mengalami penurunan ketara berbanding 2020 dengan sumbangan 7.4 peratus, manakala sumbangan agromakanan adalah 3.6 peratus dengan sasaran peningkatan pada 3.8 peratus tahun ini.

Hakikatnya, sektor agromakanan negara termasuk padi dan beras sering berdepan pelbagai risiko, terutama ancaman perubahan iklim dunia. Hujan lebat dan banjir juga menjadi cabaran utama petani, selain kemarau, serangan penyakit serta serangga perosak.

Pada akhir tahun lalu, lebih RM90 juta kerugian direkodkan bagi sektor agromakanan negara merangkumi pertanian, perikanan dan penternakan akibat banjir luar jangka.

Pelbagai inisiatif termasuk suntikan subsidi tinggi kerajaan diberi untuk meningkatkan pengeluaran padi dan beras, namun hasilnya kurang memberangsangkan. Malaysia menduduki tangga keempat berbanding pengeluar beras di Asia Tenggara seperti Vietnam, Filipina dan Indonesia.

Berbanding negara di rantau ini, Malaysia agak ketinggalan kerana tiada insurans atau takaful bagi mengurangkan beban risiko kerugian berkaitan pertanian. Kerajaan juga terpaksa menanggung kos lebih RM80 juta untuk memberi bantuan serta dana kepada petani padi apabila sawah menghadapi bencana alam dan penyakit.

Wujudkan model takaful pertanian

Sehingga kini belum ada satu model insurans atau takaful pertanian di negara ini. Sebagai peneraju sistem kewangan Islam global, sektor pertanian wajar menjadi antara tujahan industri kewangan Islam, terutama takaful dalam menyediakan pelan takaful pertanian pertama selaras maqasid syariah.

Takaful adalah konsep saling bekerjasama dalam memberi jaminan perlindungan terhadap sebarang kemudaratan dalam masyarakat, manakala taawun bermaksud saling membantu sebagai sebahagian refleksi konsep takaful itu sendiri.

Hingga kini, industri takaful berperanan penting dalam menyediakan perlindungan patuh syariah kepada peserta daripada pelbagai bentuk malapetaka dan kerugian sama ada terhadap harta benda seperti kenderaan dan rumah atau perlindungan kemalangan diri serta kesihatan.

Bagaimanapun, risiko berkaitan pertanian belum dilindungi mana-mana skim insurans atau takaful. Bagi menyahut cabaran ini, pengenalan pelan takaful pertanian berdaya tahan dan mampan menjadi keperluan mendesak bagi mendepani cabaran perubahan iklim serta melindungi pendapatan petani.

Inovasi model takaful taawuni agro diintegrasikan dengan instrumen pendanaan sosial Islam seperti zakat, wakaf dan infak wajar diteroka. Sinergi ini secara tidak langsung berupaya mengurangkan kebergantungan suntikan dana kerajaan dalam sektor pertanian.

Ini bertepatan Teras 2 Pelan Induk Sektor Kewangan 2022-2026, Bank Negara bagi meningkatkan kesejahteraan isi rumah, terutama pesawah ke arah membina daya tahan kewangan inklusif, selain mengeluarkan mereka daripada kancah kemiskinan akibat peningkatan kos sara hidup.

Model ini amat relevan dan bertepatan gagasan Ekonomi MADANI diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini ke arah memperkasa pendapatan rakyat terutama pesawah dan meningkatkan keterjaminan makanan negara.

Antara langkah proaktif digariskan menerusi kerangka Ekonomi MADANI bagi meningkatkan keterjaminan makanan adalah penggunaan teknologi agro bagi menambah baik produktiviti, pewujudan perjanjian perdagangan bebas bersifat menang-menang serta mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar. Justeru, Malaysia berpotensi memposisikan kedudukan agar lebih kompetitif sebagai pengeluar makanan dunia dan pertanian sebagai antara jentera pertumbuhan ekonomi negara.