Berita

Kesejahteraan dalam Pendidikan Malaysia Madani

DALAM  keterujaan kita menyambut permulaan semester persekolahan yang baharu bagi tahun ini, ramai murid dan ibu bapa yang bergelut dengan kerencaman fikiran dan emosi dalam menghadapi demam kembali ke sekolah. Biarpun kita sudah mampu berhadapan dengan risiko Covid-19, kesan jangka panjang kepada ekonomi dan emosi masyarakat masih terus dirasai. Justeru langkah Kementerian Pendidikan Malaysia yang mengambil keputusan untuk tidak memulakan sesi persekolahan dengan kelas akademik mendapat sokongan ramai pihak terutamanya ibu bapa. Ia selari dengan impian yang diukir dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan matlamat unggul untuk mencapai kesejahteraan melalui pembangunan dan kesimbangan lima aspek utama yang ditekankan iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

Ramai di kalangan kita sering beranggapan bahawa anak-anak kita menyambut dengan baik sesi persekolahan yang bajaru kerana mereka dapat memakai pakaian seragam, beg dan kasut sekolah serba baharu. ibu bapa juga mengharapkan agar anak-anak mereka lebih bersemangat dan positif bagi mengikuti pembelajaran dan sesi kokurikulum untuk semester baharu ini. Semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran kini kembali kepada era sebelum Covid-19 menyerang. Kita seakan terlupa bahawa hanya beberapa tahun yang lepas kita terpaksa melaksanakan PDPR dengan norma baharu kehidupan dan pembelajaran yang bercelaru. Kita mendoakan pengalaman pahit tersebut tidak akan berulang buat anak-anak kita dalam sesi persekolahan tahun ini dan seterusnya agar
kesejahteraan dapat terus dinikmati.

Konsep sejahtera merupakan matlamat utama yang ditekankan di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi tonggak kepada pelaksanaan sistem pengajaran dan pembelajaran di semua peringkat sekolah di negara ini. Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkilfi Abdul Razak merupakan pendokong kuat kepada pemurnian konsep kesejahteraan di dalam pendidikan dan kehidupan kerana beliau percaya ia mampu menginsankan individu dan mendokong usaha pembinaan kekuatan jatidiri ummah. Konsep kesejahteraan dalam pendidikan negara ini juga telah dikupas dalam sebuah buku
The Malay Concept of Sejahtera, nukilan tokoh cendekiawan Islam negara, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan, yang baru sahaja meninggalkan kita. Buku tersebut membincangkan makna, konsep dan pendekatan sejahtera itu sendiri dan bagaimana ia mampu membina minda masyarakat Madani — wawasan negara kita hari ini.

Langkah sejahtera ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia telah lama diperkenalkan pada tahun 1989 apabila Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Pendidikan pada ketika itu. Permulaan sesi persekolahan tanpa pembelajaran bertujuan menggalakkan murid-murid untuk tidak terlalu terbeban dengan proses pembelajaran seawal mereka kembali ke sekolah. Transisi dari cuti semester kepada sesi persekolahan memerlukan kesediaan minda dan emosi bagi sebilangan anak-anak, terutamanya bagi mereka yang masih di peringkat sekolah rendah. Dalam kalangan para guru juga turut merasakan ianya sebagai zon ‘berlapang fikiran’ atau ‘ambil nafas’ bagi mereka kembali fokus dengan rutin harian sebagai pendidik. Hakikatnya, kita semua perlukan sedikit
masa untuk melaras semula tenaga dan keutamaan dalam menguruskan perubahan musim dalam kehidupan.

Secara umumnya, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengambil satu pendekatan yang sangat positif dalam menjalankan “minggu bertenang” bagi memberi peluang murid dan para guru untuk kembali fokus kepada aktiviti-aktiviti yang kebiasaannya dijalankan bagi akademik dan kokurikulum. Masyarakat berharap, KPM akan mengumumkan lebih banyak program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada pemurnian kesejahteraan insan di sekolah dan institusi pendidikan lain. Semoga dengan langkah sejahtera sebegini akan dapat membantu terbinanya masyarakat Malaysia Madani yang kita semua impikan.

Zulkarnin Zakaria
Pensyarah Kolej GENIUS Insan, Universiti Sains Islam Malaysia

Sources: https://malaysiagazette.com/2023/04/07/kesejahteraan-dalam-pendidikan-malaysia-madani/