Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan bahawa larangan merokok di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) adalah menyeluruh dan terpakai kepada semua individu tanpa sebarang pengecualian.
KKM dalam satu kenyataannya berkata, larangan Akta 852 itu bukan sahaja tertakluk kepada orang ramai, tetapi ia termasuk kepada anggota penjawat awam.
Sehubungan itu katanya, KKM mengambil maklum hantaran tular di media sosial yang mendakwa seorang individu sedang merokok di sebuah premis makanan di Rawang, Selangor pada 23 Mac lalu.
“Hasil siasatan segera mengesahkan bahawa individu terlibat merupakan seorang penjawat awam yang bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak.
“Susulan pelanggaran tersebut, tindakan kompaun telah pun dikeluarkan kepada individu tersebut di bawah Seksyen 16(2) kerana merokok di tempat makan berdasarkan Akta 852,” kata KKM menerusi media sosialnya.
Menurut kenyataan itu lagi, tindakan tatatertib dalaman juga akan diambil selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) bagi memastikan integriti perkhidmatan awam sentiasa terpelihara.
Tegasnya, KKM memandang serius perkara tersebut kerana premis makanan adalah salah satu daripada 28 kawasan larangan merokok yang telah diwartakan demi memelihara kesejahteraan rakyat.
Katanya, sebagai agensi yang menerajui kesihatan awam, KKM tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga kerja yang gagal mematuhi undang-undang ditetapkan dan komited melaksanakan aktiviti penguatkuasaan secara tegas, adil serta konsisten bagi melindungi kesihatan orang awam daripada pendedahan asap rokok.
Jelasnya, pematuhan terhadap larangan merokok adalah tanggungjawab bersama bagi memastikan persekitaran yang bersih, sihat dan selamat untuk semua.
“KKM amat menghargai keprihatinan masyarakat dan menggalakkan penyaluran maklumat atau aduan melalui saluran rasmi KKM bagi memperkukuh penguatkuasaan semi melindungi kesihatan awam,” ujarnya. -MalaysiaMADANI
